LIVERPOOL: Liverpool bersedia menjual Mohamed Salah kepada Paris Saint-Germain (PSG) untuk mendapatkan dana bagi membina semula pasukan.
Menurut portal Calciomercatoweb.it, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak gembira dengan risiko kehilangan Salah.
Begitupun, penyerang Mesir itu yang menandatangani lanjutan kontrak tiga tahun sehingga 2025, Julai lalu, menjadi sumber kewangan terbaik kelab jika dilepaskan sekarang, sama dengan Sadio Mane yang dijual kepada Bayern Munich.
Reds kini menghadapi krisis prestasi dengan bergelut di tangga kesembilan liga, justeru untuk kembali ke tahap terbaik mereka perlu melakukan perubahan drastik.
Salah sedia dilepaskan pada harga 70 juta pound (RM369 juta), dan duit jualan akan digunakan bagi memborong pemain baharu.
Pada 2018, Reds pernah melakukan perkara sama dengan menjual Philippe Coutinho kepada Barcelona pada harga 142 juta pound (RM748 juta), dan hasil jualan digunakan untuk membeli Virgil van Dijk dengan nilai 75 juta pound (RM395 juta) dari Southampton.
Pada ketika hartawan Qatar dikatakan berminat membeli Liverpool, menjual Salah yang merupakan bintang besar dalam bola sepak Arab bukan idea baik.
Bagaimanapun dalam usaha menambah sengat di bahagian tengah, Reds memerlukan dana.
Antara yang dikaitkan Liverpool bintang Maghribi, Sofyan Amrabat, selain tonggak Piala Dunia Argentina, Alexis Mac Allister yang beraksi buat Brighton. – AGENSI