Kemajuan Azeem Fahmi luar biasa

Kemajuan Azeem Fahmi luar biasa

Azeem Fahmi
MUHAMMAD AZEEM FAHMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan sensasi Muhammad Azeem Fahmi memecah rekod berusia 24 tahun dalam acara 60 meter (m) dalam dewan kebangsaan tidak sampai sebulan ‘berguru’ di Amerika Syarikat (AS) sesuatu yang menakjubkan.

Semalam, Azeem yang mewa­kili Universiti Auburn menca­tatkan 6.63 saat (s) pada Terbuka Texas Tech & Multi di Texas bagi mengatasi rekod yang lebih dua dekad dipegang Watson Nyambek, 6.66s.

Watson yang berasal dari Sarawak mencatat rekod tersebut pada Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.

Ini rekod kebangsaan kedua dilakar Azeem dalam tempoh kurang setahun selepas mema­dam catatan 100m dengan melakar 10.09s pada Kejohanan Remaja Dunia di Colombia, Ogos lalu.

Bagi Zaiful Zainal Abidin yang telah 22 tahun memegang rekod 400m kebangsaan, Azeem pelari yang sangat tangkas dan cepat menyesuaikan diri bukan sahaja dengan persekitaran di AS yang serba asing, malah acara dalam dewan yang tidak popular di Malaysia.

“Kejayaan ini sangat positif, langkah Azeem ke sana memang keputusan tepat. Bila kita bercakap tentang acara dalam dewan, suasana lain.

“Bagi seorang pelari pecut, mungkin sepatutnya tak perlu ada masalah tetapi sangat baharu bagi atlet Asia.

“Bagi saya, Azeem cepat dan pandai menyesuaikan diri de­ngan keadaan baharu sedangkan kali pertama bertan­ding dalam acara itu.

“Dia be­tul-betul mempa­mer sema­ngat seorang atlet yang mahu kejar kejayaan seiring dalam sukan dan aka­demik.

“Acara dalam dewan tidak popular di Malaysia sebab pertandingan ini cuma dipertandingkan di negara-negara yang mempunyai empat musim.

“Macam sekarang, negara barat sedang musim sejuk, jadi untuk kekalkan prestasi larian, mereka buat kejohanan dalam dewan. Bagi saya, ini pengalaman tambahan yang sangat berharga buat Azeem. Tahniah untuknya,” kata Zaiful kepada Ming­guan ­Malaysia.

ZAIFUL ZAINAL ABIDIN

Zaiful yang pernah meraih tempat keempat dalam Kejohanan Dalam Dewan Asia di Qatar 2007 menyokong keputusan Azeem memilih AS sebagai pangkalan latihan kerana peluang untuk beraksi dalam perlumbaan kompetitif lebih banyak.

“Semasa saya berlatih di Jerman, walaupun bukan sambung belajar di sana, saya dapat pengalaman berlari dan bertemu ramai pesaing hebat dari negara lain.

“Bila bergerak ke luar negara, prestasi kita tidak statik, akan selalu ada perkemba­ngan, rekod kita juga lebih baik.

“Di Malaysia pun bagus tapi jika berpeluang, cubalah bersaing dengan atlet negara lain, kerana dari situ cara berfikir akan berubah dan kita mudah terima pelajaran baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya