Kami mungkin tak 'hebat' tapi terbaik ketika ini

Kami mungkin tak ‘hebat’ tapi terbaik ketika ini

BRENDAN Gan (kanan) dan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon hadir dalam sidang akhbar di Bukit Jalil semalam menjelang pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand malam ini. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Brendan Gan percaya, biarpun ramai yang melihat pasukan Harimau Malaya kali ini bukan yang terkuat, namun semangat juang serta berpasukan tinggi menjadikan mereka yang ‘terbaik’.

“Media kata kami bukan pasukan terbaik tetapi kami bekerjasama untuk buktikan kami adalah yang terbaik dan berjuang untuk satu sama lain.

“Anda dapat rasakan aura positif dalam pasukan ini, semua pemain sentiasa berikan 100 peratus, itu sikap yang membawa kami ke separuh akhir,” kata bintang tengah itu menjelang separuh akhir pertama Piala AFF menentang Thailand malam ini.

Menurut kapten Selangor berusia 34 tahun itu, fokus Harimau Malaya kini ialah kepada persembahan sendiri tanpa mengambil peduli siapa pencabar mereka temui.

PEMAIN Malaysia menjalani latihan akhir di Wisma FAM semalam menjelang pertemuan menentang Thailand.

“Kami hanya fokus kepada pasukan sendiri, apa yang kami akan lakukan dan bukan apa yang mereka lakukan, kami juga akan mengawal permainan dan bukannya lawan yang berbuat demikian.

“Sudah tentu kemenangan perlu kami capai, tak kira siapa lawan yang kita temui, cuba mencari gol sebanyak mungkin, jadi kita akan berdepan mereka esok (hari ini) dengan cara sama, dan akan jaringkan gol,” katanya.

Brendan berkata, Thailand memiliki barisan pemain yang mempunyai kemahiran individu tinggi dan bijak ketika melakukan hantaran.

Jelasnya, pertemuan antara kedua-dua pasukan dijangka berlangsung menarik dan me­rupakan antara perlawanan terbaik di rantau ini.

Mengulas mengenai situasi terkini rakan sepasukannya, pemain itu berkata, mereka disatukan dalam sebuah pasukan dan telah mengharungi pelbagai cabaran.

“Ketika ini, keyakinan kami semakin baik dan yakin mampu meraih kemenangan. Kami adalah pemain terbaik dan berhak untuk berada di atas padang mewakili negara.

Brendan menegaskan, perjuangan Harimau Malaya adalah untuk negara dan ­mentaliti kemenangan akan di bawa mereka baik beraksi di laman sendiri mahupun di tempat lawan.

Sokongan padu 59,000 penonton di Bukit Jalil malam ini akan menjadi kekuatan tambahan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya