LONDON: Arsenal melebarkan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris kepada lapan mata walaupun mengharungi malam yang mengecewakan apabila diikat 0-0 oleh Newcastle United di Stadium Emirates.
Gunners bermula baik tetapi bergelut untuk menukar penguasaan menjadi jaringan untuk menguji penjaga gol lawan, Nick Pope.
Newcastle tampil lebih baik pada separuh masa kedua dan hampir berada di depan apabila tandukan Joelinton sedikit tersasar.
Sekali lagi Arsenal menguasai sebahagian besar permainan tetapi pelawat terus menggagalkan usaha anak-anak buah Mikel Arteta .
Pengadil, Andy Madley tidak banyak membantu kelancaran permainan apabila mengeluarkan sembilan kad kuning, menyebabkan kedua-dua pasukan sangat kecewa.

Gabriel Martinelli dan Eddie Nketiah hampir hampir memberi gol kemenangan Arsenal di hujung permainan, malangnya dikecewakan oleh pertahanan lawan.
Keputusan itu bermakna Manchester City yang berada di tangga kedua boleh merapatkan jurang mata di belakang Arsenal kepada lima jika menang di Chelsea pagi nanti.
Newcastle kekal di tempat ketiga dan ketinggalan sembilan mata di belakang Arsenal setelah bermain lebih satu perlawanan.
Kedua-dua pasukan kini akan beralih perhatian kepada pusingan ketiga Piala FA ketika Newcastle bertandang ke Sheffield Wednesday pada Sabtu, manakala Arsenal melawat Oxford pada malam Isnin.