PETALING JAYA: Perlawanan separuh akhir kedua malam ini akan menjadi penentu untuk skuad Harimau Malaya layak ke final Piala AFF 2022 dan pastinya seluruh rakyat Malaysia turut mendoakan agar anak buah Kim Pan Gon mampu meraih kejayaan.
Sudah tentu bekalan satu jaringan hasil kemenangan tipis 1-0 ke atas Thailand pada Sabtu lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil belum cukup untuk menjamin tiket ke final, justeru itu, peminat menuntut skuad kali ini memberikan segalanya di Bangkok malam ini.
Berdasarkan momentum, prestasi dan semangat yang ditunjukkan oleh para pemain dalam saingan Piala AFF 2022 kali ini, skuad Harimau Malaya berpotensi untuk layak ke final namun, perlu bergantung kepada aksi 90 minit lagi di Stadium Thammasat.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, barisan pemain Harimau Malaya mempunyai motivasi cukup tinggi untuk menentang Thailand yang mempunyai ranking lebih tinggi berbanding skuad bimbingan Pan Gon.

“Kita perlu ingat, menentang Thailand di tempat lawan bukan senang kerana mereka berada di ranking lebih tinggi tetapi, saya kira pemain kita mempunyai motivasi yang cukup tinggi untuk menentang Thailand dan kita juga pernah menang ke atas mereka sebelum ini.
“Saya harap, kita semua sama-sama mendoakan kejayaan pasukan malam ini dan saya percaya, sudah tentu Pan Gon akan mengubah taktikal untuk menentang Thailand di Bangkok
“Saya telah berjumpa dengan pemain dan akan ke Bangkok hari ini (semalam), selepas perlawanan separuh akhir pertama saya sudah berjumpa pemain dan menitipkan beberapa pesanan termasuk perlu persiapkan mental dan fizikal untuk perlawanan malam ini.
“Pastinya, malam ini akan menjadi malam yang panjang buat mereka (pemain) kerana perlu melalui aksi 90 minit atau mungkin tambahan masa 30 minit lagi,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Skuad kendalian Pan Gon kini dalam misi untuk layak ke final dan menjulang Piala AFF buat kali kedua dalams ejarah bola sepak negara, kali pertama Malaysia mendakap piala berkenaan ialah pada edisi 2010 di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal.-UTUSAN