Safawi mahu kembali gegar gawang - Utusan Malaysia

Safawi mahu kembali gegar gawang

SAFAWI RASID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain sayap prolifik, Safawi Rasid berpandangan Kejohanan Piala AFF 2022 adalah medan terbaik buat dirinya kembali mengasah taring selepas sentuhannya tidak lagi setajam sebelum ini dalam saingan liga tempatan bersama Johor Darul Takzim (JDT) musim ini.

Biarpun pasukannya berjaya menyapu bersih kesemua empat kejuaraan dalam Liga Malaysia tahun ini, kelibat Safawi kerap disisihkan dan sukar untuk kembali mencabar posisi sayap kanan skuad harimau selatan yang kini menjadi milik pemain muda, Arid Aiman.

Bagaimanapun Safawi enggan berputus asa dan sedia membuktikan sentuhannya masih berbisa di hadapan gawang menjelang saingan Piala AFF yang akan membuka tirai 20 Disember depan.

“Sudah pasti kejohanan ini sangat penting buat saya untuk pulihkan semula prestasi sebelum ini dan saya rasa bersama skuad kebangsaan adalah peluang bagi saya mencipta momentum.

“Secara peribadi, saya cukup selesa menyarung jersi negara kerana ini adalah tempat saya dan sudah tentu akan memberikan yang terbaik seandainya diberi peluang meskipun kurang minit permainan di peringkat kelab.

“Rakan-rakan sepasukan serta barisan kejurulatihan juga banyak membantu saya dan sekarang adalah masa untuk saya membalas kepercayaan yang diberikan,” jelas Safawi yang dilantik menjadi kapten pasukan, bersama-sama Dion Cools, Faisal Halim dam Brendan Gan.

Dalam masa yang sama, penyerang berusia 25 tahun itu juga enggan pisang berbuah dua kali apabila sekali lagi mendapat tawaran berkelana di luar negara, bersama pasukan Ratchaburi FC di Thailand tahun hadapan.

Safawi sebelum ini pernah bersama kelab Portugal, Portimonense SC pada 2020, bagaimanapun dia tidak pernah diberi peluang membuat penampilan bersama pasukan utama dalam Liga Primeira sebelum dipanggil pulang hanya selepas lima bulan bersama kelab tersebut.

“Saya memang sangat teruja apabila pasukan itu (Ratchaburi) mahukan saya berkhidmat untuk mereka, apa pun tumpuan saya kini adalah skuad kebangsaan untuk persediaan Piala AFF,” jelas Safawi.

Malaysia bakal bertemu Kemboja Jumaat ini untuk aksi perlawanan persahabatan, disusuli perlawanan menentang Maldives pada 14 Disember di Stadium Kuala Lumpur, Cheras.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN