Markiman lepas jawatan Presiden, Selangor kembali bersama PSM

Markiman lepas jawatan Presiden, Selangor kembali bersama PSM

MARKIMAN KOBIRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seperti dijangka, Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS) akhirnya membuat pusingan U untuk kembali bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) setelah pembubaran Persekutuan Sepak Takraw (Mastaf) minggu lalu.

Pengumuman tersebut dibuat Presiden PSS, Datuk Markiman Kobiran ketika mempengerusikan Mesyuarat PSS Rabu lalu, dan dalam masa yang sama, Markiman turut memutuskan untuk melepaskan jawatan presiden yang disandangnya lebih 10 tahun kepada muka baharu.

Justeru PSS dijangka akan ditadbir oleh kepimpinan baharu apabila badan induk itu akan bersidang dalam Mesyuarat Agun Tahunan (AGM) pada Februari depan.

“Saya sudah putuskan dalam mesyuarat yang kita kembali (bersama PSM) tetapi itu bukan bermakna saya lari keluar. Dalam mesyuarat baru-baru ini, kita sudah berbincang hala tuju PSS dan juga mandat diberikan kepada saya.

“Saya akan tamatkan pada Mesyuarat Agung akan datang iaitu pada Januari atau Februari ini. Saya nak peralihan antara kepimpinan saya dan yang baharu berjalan secara teratur. Siapa yang berpotensi dan ingin memimpin, tunjukkanlah kebolehan masing-masing untuk diberikan mandat itu nanti,” jelas Markiman.

Pengunduran Selangor daripada Mastaf menyaksikan kini hanya tinggal Labuan, Sarawak dan Putrajaya sahaja masih belum membuat keputusan untuk menyertai PSM.

Sebelum ini Persatuan Sepak Takraw Kedah (PESTAK) membuat kejutan untuk keluar dari Mastaf bagi menyertai PSM pada Julai, dan berselang lima bulan kemudian, Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) pula mengikut jejak langkah sama.

Dalam masa yang sama, Markiman turut meluahkan kekecewaan yang mendalam terhadap senario politik dalam sukan sepak takraw sehingga memaksa Mastaf dibubarkan selepas hanya 10 bulan ditubuhkan.

“Saya juga kecewa dengan beberapa isu lain seperti perjuangan mendapatkan semula Kompleks Sukan Titiwangsa untuk dijadikan Kompleks Sukan Sepak Takraw. Itu perancangan kita apabila cuba mengambilalih secara dalaman, apabila PSM dibatal keahlian, kita tubuhkan entiti baharu untuk menjadi badan induk kebangsaan.

“Namun percaturan politik dan campur tangan ASTAF (Persekutuan Sepaktakraw Asia) dan ISTAF (Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa) yang terlalu terserlah sehingga kita dapati dibawah permainan merebut kuasa dan populariti menjadi tajuk utama dalam kedua-dua pihak ini.

“Jadi, kita berjiwa besar memikirkan sekiranya campur tangan politik, asing ini berterusan, maka kita tak akan ke mana. Oleh itu, saya berharap segala idea kita untuk perbaiki sepak takraw dapat diteruskan oleh sesiapa saja yang memimpin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya