KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Laos, Michael Weiss menyifatkan Harimau Malaya sebagai pencabar gelaran Piala AFF 2022 bersama Vietnam.
Pengendali dari Jerman itu berkata, sejak sekian lama beliau mengenali Malaysia, skuad bimbingan Kim Pan Gon itu pada anggapannya sebagai sebuah pasukan yang kian meningkat tahun demi tahun.
“Malaysia walaupun kehilangan beberapa tonggak, mereka masih mampu bermain dengan baik. Ini menunjukkan taraf liga di Malaysia semakin berkualiti dan tahap profesional juga semakin bagus.
“Saya telah memantau perkembangan Malaysia sejak 2015 lagi, jadi, saya tahu Malaysia mempunyai kualiti,” katanya semalam.
Skuad Harimau Malaysia tampil dalam Piala AFF kali ini tanpa 11 tonggak juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) hingga memaksa Pan Gon memanggil beberapa muka baharu.
Malaysia membuka kempen kejohanan dengan menumpaskan Myanmar 1-0 di Yangon, Rabu lalu dan menjadi pilihan untuk mengalahkan Laos di Bukit Jalil malam ini.

Mengulas pula mengenai persediaan skuad bimbingannya, Weiss memberitahu, buat masa ini, tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang Loas selepas ditimpa kekalahan besar 0-6 kepada Vietnam.
Jurulatih itu yang kelihatan keberatan untuk berkongsi strategi yang bakal diterapkan skuad bimbingannya menentang Malaysia, hari ini, berkata, anak-anak buahnya masih memiliki motivasi yang tinggi untuk mempamerkan persembahan yang baik.

Bercakap pula mengenai kecederaan, Weiss turut enggan berkongsi informasi tersebut dan menjelaskan, masalah yang dialami skuad bimbingannya tidak perlu didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun, jurulatih itu mengakui, anak-anak buahnya perlu berhati-hati dengan corak permainan Malaysia yang mampu beraksi dalam tempoh permainan yang laju.
“Apa yang saya boleh beri gambaran ialah kami akan mempamerkan corak permainan bertahan yang mantap bagi mengekang asakan Malaysia,” tambah Weiss.









