KUALA LUMPUR: Selepas mempamer aksi kurang meyakinkan, malah dianggap ‘bernasib baik’ ketika menumpaskan Myanmar 1-0 pada saingan pembukaan Piala AFF, Rabu lalu, Malaysia bukan sahaja memburu kemenangan kedua, malah mencari jaringan besar apabila berdepan Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Meletakkan sasaran untuk menutup Kumpulan B selaku juara, Harimau Malaya perlu menang dengan jaringan lebih besar selepas melihat juara dua kali, Vietnam membelasah Laos 6-0 dalam perlawanan pertama mereka.
Dengan Harimau Malaya bakal bertandang ke Hanoi pada aksi ketiga, Selasa ini, hanya jaringan besar mampu mencerahkan peluang anak-anak buah Kim Pan Gon untuk muncul juara kumpulan.
“Sasaran kita adalah menang dan kalau mahu berada di kedudukan teratas, kita perlu mendapatkan perbezaan jaringan lebih baik berbanding Vietnam.
“Ini bukanlah satu perkara mudah kerana kami perlu menghormati Laos yang pasti tampil dengan semangat lebih tinggi selepas kalah besar aksi pertama.
“Kita harus kekal fokus dan beraksi pada kualiti lebih tinggi bagi mendapatkan keputusan yang positif dan perlu menguruskan perlawanan ini dengan sebaiknya,” kata Pan Gon.
Kali terakhir Malaysia membawa pulang Piala AFF adalah pada 2010. Biarpun turun tanpa ramai tonggak dalam edisi kali ini, namun Pan Gon tidak rela nasib buruk tahun lalu berulang apabila Harimau Malaya kandas di peringkat kumpulan.