Kami semua Malaysia, tiada A atau B

Kami semua Malaysia, tiada A atau B

PEMAIN Harimau Malaya menjalani latihan akhir malam tadi menjelang pertemuan menentang Laos di Bukit Jalil malam ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menjelang perlawanan kedua Piala AFF menentang Laos malam ini, bintang tengah Malaysia, Brendan Gan menggesa semua pihak agar tidak lagi menggunakan istilah Harimau Malaya ‘A’ dan ‘B’ untuk merujuk kepada pasukan bola sepak negara.

Pemain veteran berusia 34 tahun itu menyeru kepada semua penyokong bola sepak tanah air agar menerima bahawa 23 pemain yang terpilih mewakili Malaysia pada kejohanan ini adalah yang terbaik ketika ini.

“Kita bukan bercakap tentang kesebelasan utama sahaja, malah, kesemua 23 pemain yang dipilih jurulatih Kim Pan Gon mewakili Harimau Malaya adalah yang terbaik dalam negara ini.

“Setiap pemain dalam skuad memiliki kelebihan dan kekuatan masing-masing. Bagi saya semua pemain yang berada dalam pasukan berhak berada di sini, jadi, saya harap tiada lagi perbandingan seperti yang saya baca di dalam laporan media,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Jalil semalam.

Ketiadaan 11 tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanafi, Akhyar Rashid, Matthew Davies, Syafiq Ahmad, Afiq Fazail, Syahmi Safari, Shio Hong Wan dan Natxo Insa dalam skuad Piala AFF kali membuatkan penyokong Harimau Malaya sering membuat perbandingan.

Skuad Malaysia yang memahat sejarah melayakkan diri ke Kejohanan Asia selepas 42 tahun, Jun lalu dianggap jauh lebih baik dengan kehadiran ramai bintang JDT, namun ketiadaan mereka memaksa Pan Gon menampilkan ramai muka baharu.

Pasukan ‘berwajah baharu’ yang sering dilabel sebagai Harimau Malaya ‘B’ ini memenangi ketiga-tiga perlawanan mereka, termasuk dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives, selain menewaskan Myanmar 1-0 pada perlawanan pertama Piala AFF, Rabu lalu.

Mengulas pula mengenai pertemuan menentang Laos, Brendan berkata, Malaysia turun dengan satu misi, memburu kemenangan kedua berturut-turut.

“Harimau Malaya bakal beraksi di ‘stadium terbaik di dunia’, ia memberi kami satu semangat yang positif untuk mengizinkan kami menumbangkan Laos,” ujarnya.

Mengulas pula tentang strategi yang bakal diterapkan Malaysia, Brendan memberitahu, semua orang boleh berkata apa sahaja tentang corak permainan yang diterapkan Harimau Malaya.
“Bagi saya semua orang boleh bertindak menjadi ‘ketua jurulatih’ dan ada pandangan masing-masing, tetapi, sebagai pemain kami perlu agresif dengan perancangan awal permainan kami.

“Saya akui memanglah setiap perancangan itu ada yang menjadi dan ada yang tidak, tetapi sebagai sebuah pasukan yang baik, kami seharusnya mampu mengadaptasi strategi tersebut,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.