Badminton, hoki, bola sepak ketuai musim cemerlang sukan 2022

Badminton, hoki, bola sepak ketuai musim cemerlang sukan 2022

AARON Chia-Soh Wooi Yik melakar sejarah merangkul kejuaraan dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahun 2022 antara musim terbaik yang akan dikenang peminat sukan tanah air, daripada kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menghadiahkan gelaran dunia pertama dalam badminton sehingga pencapaian skuad hoki, bola sepak serta kontinjen Sukan Komanwel.

Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk memiliki juara badminton dunia pertama selepas menewaskan juara tiga kali, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia dalam perlawanan akhir.

Tidak ketinggalan beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah turut menampilkan aksi terbaik apabila menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia, selain menjadi beregu wanita pertama menjuarai Terbuka Perancis sejak kejohanan itu diadakan pada 1909.

Perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang mencipta kontroversi meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal tahun ini berjaya membuktikan pilihannya itu tepat apabila meraih gelaran Asia selepas menewaskan pemain Indonesia, Jonathan Christie di pentas final.

HARIMAU Malaya memahat sejarah layak ke Piala Asia secara merit buat kali pertama selepas 43 tahun.

Sukan nombor satu negara, bola sepak pula turut menghadirkan kegembiraan buat rakyat Malaysia apabila menamatkan penantian 43 tahun dengan mela­yakkan diri ke Piala Asia 2023 selepas menamatkan aksi kelayakan dalam kalangan lima naib juara terbaik.

Musim 2022 juga tahun cemerlang buat hoki apabila skuad lelaki berjaya mengesahkan tempat di Piala Dunia 2023 setelah muncul naib juara Piala Asia di Jakarta, Indonesia Jun lalu.

Anak buah Arul Selvaraj turut berjaya memastikan trofi Piala Sultan Azlan Shah berjaya didakap buat julung kalinya selepas 39 tahun apabila menewaskan Korea Selatan dalam aksi final yang cukup sengit di Ipoh pada November.

Olahraga turut cemerlang apabila pelari pecut remaja, Azeem Fahmi memecah rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat pada Kejohanan Remaja Dunia di Colombia, Ogos lalu.

PASUKAN hoki bukan sahaja layak ke Piala Dunia 2023, malah menutup kempen 2022 dengan muncul juara Piala Sultan Azlan Shah buat kali pertama. 

Dua temasya sukan yang diharungi kontijen Malaysia tahun ini iaitu Sukan SEA Vietnam pada Mei, dan Sukan Komanwel Birmingham pada Julai menyaksikan atlet negara berjaya melepasi sasaran pingat emas ditetapkan.

Kontinjen Malaysia membariskan seramai 584 atlet ke Hanoi, berjaya membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa, sekaligus mengatasi sasaran 36 pingat emas yang ditetapkan.

Aksi di Birmingham pula me­nyaksikan Malaysia mengumpul tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa sekali gus mengakhiri saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan. Angkat berat menerusi Aniq Kasdan dan Aznil Bidin dijulang sebagai wira kerana mempamer aksi luar biasa, sekali gus membersihkan nama sukan ini yang dicemari penyalahgunaan bahan terlarang.

Disangka panas sampai ke petang, akhirnya hujan di tengahari. Angkat berat terus dihimpit isu doping ketika penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2022 September lalu apabila lima atlet Terengganu diuji positif Metandienone, Te­butaline dan Oxymetholone.

Arena sukan tempatan turut dikejutkan dengan pendedahan kes pecah amanah dalam Ke­satuan Ragbi Malaysia (KRM) bernilai jutaan ringgit.

Mike Mahen dari bina badan menutup kalendar gemilang negara apabila muncu; juara dunia buat kali kelima apabila menakluk Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia yang berlangsung di Phuket, Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.