PETALING JAYA: Persembahan cemerlang barisan pemain Selangor FC yang menggalas cabaran Harimau Malaya dalam Piala AFF memberi harapan kepada pasukan itu untuk mengembalikan era King of Malaya apabila menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.
Jika sebelum ini peminat bola sepak tempatan hanya melihat deretan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) menganggotai skuad kebangsaan dalam kejohanan utama, namun situasi berbeza apabila pasukan Piala AFF kali ini dibarisi ramai pemain Gergasi Merah.
Ketika membelasah Laos 5-0 pada Sabtu lalu, enam pemain Selangor FC iaitu Faisal Halim, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Fazly Mazlan, Nor Hakim Hassan dan Mukhairi Ajmal Mahadi memberi impak positif apabila diturunkan dalam kesebelasan utama.

Selain enam pemain terbabit, pemain Selangor FC yang turut menganggotai skuad bimbingan Kim Pan Gon dalam Piala AFF kali ini ialah V. Ruventhiran, Ahmad Khuzaimi Piee, Brendan Gan dan Alif Haiqal Lokman Hakim Lau.
Situasi itu mengimbau zaman kegemilangan Malaysia ketika dipimpin generasi hebat seperti Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Ann, Datuk R. Arumugam dan Datuk Santokh Singh, di mana Selangor membekalkan kebanyakan pemain kebangsaan.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, persembahan yang dipamerkan pemainnya bersama skuad kebangsaan memberi impak positif buat pasukan menjelang musim baharu yang lebih mencabar dengan JDT sekali lagi menjadi pilihan untuk mengulangi penguasaan.

“Memang saya sebagai jurulatih berpuas hati apabila ramai pemain Selangor FC beraksi dalam skuad kebangsaan dan kita nampak prestasi pemain juga meningkat. Situasi ini memberi keyakinan kepada pasukan pada musim baharu.
“Pemain seperti Sharul Nazeem, Brendan, Mukhairi, Faisal dan Nor Hakim nampak sangat memberansangkan dan prestasi Nor Hakim jelas membuktikan dia layak wakili Harimau Malaya dan saya harap dia dapatkan kekalkan prestasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ditanya skuad kendaliannya yang kini mirip seperti JDT selepas ramai pemain mewakili skuad kebangsaan, Chen Hoe berkata, beliau tidak boleh membandingkan pemain Selangor FC dengan JDT, namun menganggap pemain perlu menggunakan peluang yang terhidang.
“Itu (mewakili Harimau Malaya) merupakan satu pendedahan yang terbaik kepada pemain kerana mereka bermain di peringkat kebangsaan dan ia memberi lebih keyakinan dan pendedahan yang terbaik kepada mereka,” katanya.