PETALING JAYA: Petaling Jaya City (PJ City) masih dalam senarai 16 pasukan yang akan mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, setakat ini mereka tidak menerima surat penarikan daripada pengurusan kelab terbabit.
Tegasnya, dalam perjumpaan MFL bersama pengurusan PJ City baru-baru ini kelab itu tidak memberitahu tentang adanya masalah sehingga terpaksa menarik diri.
“Belum ada laporan PJ City akan tarik diri daripada Liga Super musim depan.
“Secara peribadi, saya telah bertemu pengurusan tertinggi pasukan dan mereka masih meneruskan hasrat untuk bersaing.
“Namun, kita tidak tahu jika mereka ada perbincangan lanjutan selepas kempen Piala Malaysia pasukan itu berakhir baru-baru ini.
“Buat masa ini, saya tidak mahu komen mengenai spekulasi tetapi jika mereka benar mahu menarik diri, sudah pasti kami akan dimaklumkan,” katanya pada Majlis Pelancaran Setem Edisi Khas Piala Malaysia 2022 di Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer serta dua bekas pemain kebangsaan, Datuk Santokh Singh dan Azman Adnan.