fbpx

Pemain profesional berpeluang berlatih dua kali seminggu di BAM

PETALING JAYA: Barisan pemain badminton profesional negara kini mempunyai pilihan untuk menyertai sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara selepas Persatuan Badminton Malaysia telah pun mengusulkan cadangan buat kesemua pemain yang terlibat.

Perkara itu dijelaskan menerusi kenyataan media dikeluarkan oleh pihak BAM dengan pemain yang berada di kelompok 50 terbaik dunia sahaja untuk acara perseorangan, serta 30 terbaik dunia acara beregu sahaja layak untuk menyertai sesi latihan bersama ini, dan mereka dibenarkan untuk membawa bersama jurulatih masing masing.

BAM mengusulkan dua sesi buat barisan pemain profesional untuk hadir berlatih bersama pemain kebangsaan bermula pada pagi Rabu untuk pemain perseorangan dan beregu, dan satu lagi sesi iaitu pada Jumaat membabitkan pemain beregu sahaja.

“Latihan bersama adalah amat kritikal dan penting dalam modul latihan pemain, justeru BAM merasakan sesi ini akan membuahkan hasilkan yang bermakna buat kedua-dua belah pihak untuk kebaikan pasukan Malaysia secara keseluruhan, khusunya skuad kebangsaan dan pemain profesional.

“Sesi yang bakal diadakan bakal membantu meningkatkan kesefahaman antara pemain dan pegawai pasukan apabila mereka mewakili negara dalam kejohanan berpasukan,” jelas BAM.

Ketika ini skuad beregu profesional negara kebanyakkannya berlatih di Sri Petaling, sementara kebanyakkan pemain perseorangan negara melakukan latihan di Sports Affairs, Cheras.

Bagaimanapun, pemain profesional yang berminat dengan tawaran ini perlu mengesahkan kehadiran mereka pada hari Isnin setiap minggu untuk memudahkan perancangan sesi latihan berlangsung

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN