PETALING JAYA: Biarpun Piala Dunia sudah dua bulan berakhir apabila pemain tiba di Qatar, namun ‘aura’ kejohanan berprestij tersebut tetap menyerap semangat skuad bawah 16 tahun (B-16) Malaysia yang menjadikan negara itu sebagai pangkalan mereka sebelum ke Piala Asia B-17 2023.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam bersetuju menghantar skuad bimbingan Osmera Omaro itu berkampung di Qatar selama sebulan bermula pada Februari 2023.
Pada Januari tahun lalu, badan bola sepak Asia, AFC mengumumkan Bahrain akan menjadi tuan rumah Piala Asia B-17 2023, namun negara itu menarik diri dan sehingga kini venue baharu pertandingan belum diputuskan.

“FAM mengucapkan tahniah kepada skuad B-17 bimbingan Osmera Omara yang layak ke Piala Asia B17 2023.
“Kita merancang untuk mengadakan latihan insentif kerana pasukan telah mencapai keputusan yang membanggakan dan kita harap mereka mampu pergi lebih jauh.
“Bagi melengkapkan pasukan untuk beraksi lebih baik, kita sedang berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA),” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi.
Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 dari 20 November hingga 18 Disember ini, manakala Piala Asia B-17 2023 pula dijadual berlangsung dari 3-20 Mei.
Malaysia layak ke Piala Asia B-17 secara merit selaku juara Kumpulan B tanpa sebarang kekalahan pada kempen di Indonesia, Oktober lalu.
Anak didik Osmera membelasah Palestin 4-0 dalam aksi pertama, sebelum diiikat 1-1 oleh Guam.
Mereka kemudian menumpaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 sebelum membelasah Indonesia 5-1.
Dalam perkembangan lain, Yusoff skuad Malaysia B-23 akan menyertai Kejohanan AFF B-23 yang berlangsung tahun depan.
“Ini untuk persiapan sebelum mengharungi Sukan SEA di Kemboja pada Mei tahun depan,” kata Yusoff.