Kurang pengalaman pentas besar ranapkan misi '34' Selangor

Kurang pengalaman pentas besar ranapkan misi ’34’ Selangor

PEMAIN Selangor tidak mampu menahan kecewa selepas tumpas kepada JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 di Bukit Jalil. -UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Cheng Hoe mengakui, kurang pengalaman beraksi di pentas besar, selain beberapa kesilapan memusnahkan impian Gergasi Merah untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-34.

Pengendali Selangor itu bagaimanapun berbangga dengan tentangan sengit dan permainan cantik yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika tewas 2-1 kepada pasukan ‘bintang’ Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

“Jaringan penyamaan JDT pada hujung separuh masa pertama telah menjejaskan keyakinan para pemain.

“Sebagai jurulatih saya berpuas hati dengan komitmen yang dipamerkan baik di dalam dan di luar padang, mereka bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Cuma kekurangan mereka ialah dari segi pengalaman sehingga membenarkan satu, dua kesilapan dilakukan dan mudah hilang fokus.

PERTAHANAN Selangor, Quentin Cheng (tengah) bersaing dengan penyerang JDT, Bergson da Silva dalam final Piala Malaysia 2022.

“Mereka menunjukkan satu perlawanan yang baik dan menghiburkan. Kita kalah malam ini kerana kurang pengalaman beraksi di pentas besar berbading lawan.

“Beberapa peluang keemasan juga gagal disudahkan, khususnya pada separuh masa pertama dan itu mungkin sedikit sebanyak mendatangkan isu kepada kita.

“Permainan juga berintensiti tinggi dan sedikit kesilapan apabila kita kehilangan fokus yang menyebabkan JDT berjaya menjaringkan gol sekali gus menjejaskan keyakinan kita,” katanya.

Selangor bermula baik dengan menguasai permainan pada 30 minit pertama, malah memperoleh beberapa peluang keemasan tetapi gagal disudahkan.

Skuad Gergasi Merah akhirnya membuka jaringan menerusi sepakan penalti Herlison Caion pada minit ke-45, namun kelebihan itu dipadam Bergson da Silva dua minit berselang.

Herlison Caion meraikan gol jaringannya bersama rakan sepasukan. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Fernando Forestieri muncul wira buat JDT apabila meledak jaringan kemenangan pada minit ke-59, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan mencipta sejarah muncul pasukan pertama membolot semua empat trofi ditawarkan dalam liga tempatan.

Sekalipun tewas, menurut Cheng Hoe, beliau tetap bangga dengan para pemainnya yang bekerja keras untuk berada di tahap sekarang.

Jelasnya, sejak mengambil alih pasukan, dua bulan lalu, keyakinan anak-anak buahnya dilihat semakin meningkat, begitu juga dengan prestasi dan semangat juang mereka.

REAKSI Tan Cheng Hoe ketika Selangor menentang JDT.

“Kebanyakan pemain ini masih muda dan saya yakin mereka mampu memberikan cabaran yang lebih baik pada masa akan datang.

“Pemain muda seperti Muhammad Mukhairi Ajmal, dia antara pemain berbakat yang cukup berdisiplin dan sentiasa komited kepada latihan,” ujarnya yang turut akan menilai semula prestasi penjaring terbanyak Selangor, Herlison Caion. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya