LONDON: Sebuah kapal persiaran mewah yang membawa WAGs (isteri dan teman wanita) pemain England mula belayar menuju ke Qatar, namun tiada seorang pun pemain dibenarkan berada di atas kapal tersebut.
Kapal MSC World Europa bernilai satu bilion pound (RM5.3 bilion) itu dilengkapi enam kolam renang, tempat bersiar, 14 kolam kecil, 13 restoran serta 30 bar dan kafe.
Seramai 2,000 pekerja dikerah menyiapkan kapal itu, dan ia berjaya untuk belayar meninggalkan jeti di Perancis 10 hari lalu.
Isteri dan teman wanita pemain England bakal menjadi sebahagian daripada 6,762 tetamu untuk menikmati pakej lima bintang bernilai 6,000 pound (RM31,000) seorang.
Bagaimanapun setibanya di Doha, mereka tidak akan bertemu pasangan masing-masing kerana pemain England yang akan berentap dalam Piala Dunia 2022 perlu menjalani kuarantin ketat di Hotel Souq Al Wakra, sebagai langkah mencegah Covid-19.
Dengan Qatar telah memansuhkan penguatkuasaan ujian Covid-19 buat semua pengunjung yang mahu menonton Piala Dunia, itu menimbulkan keresahan kepada pasukan tentang penularan wabak tersebut.
Penganjur menjelaskan, pemain yang didapati positif perlu menjalani pengasingan selama lima hari, dan wajib memakai pelitup muka untuk lima hari kemudian. Mereka akan dilarang menjalani latihan bersama pasukan.
Antara yang turut sama dalam rombongan mewah itu termasuk model, Anna Modler yang merupakan teman wanita Eric Dier serta isteri Harry Maguire, Fern.
Menurut sumber, memandangkan kapal itu berada di luar pesisir laut Qatar, tetamu bebas berseronok tanpa risau terikat dengan undang-undang Qatar. – AGENSI