LONDON: Mikel Arteta enggan melayan amaran bekas penyerang sensasinya, Pierre-Emerick Aubameyang yang kini menjadi senjata Chelsea apabila dua gergasi London itu berentap dalam Liga Perdana Inggeris hari ini.
Aubameyang menghangatkan pertemuan apabila muncul dalam promo BT Sport dengan berkata: “Arsenal, ini bukan soal peribadi. Saya sudah kembali, saya biru, saya bersedia. Ayuh berlawan.”
Ini kali pertama pemain berusia 33 tahun itu berdepan Gunners sejak meninggalkan kelab untuk ke Barcelona pada Januari, selepas dilucutkan jawatan ketua pasukan.
Dia hanya menghabiskan tujuh bulan di Sepanyol selepas Barca terpaksa memotong gaji pemain dan melepaskan kapten Gabon itu kepada Chelsea pada hari terakhir perpindahan.

“Anda menjangkakan semua pemain akan berfikiran seperti itu.
“Jika anda bertanya kepada mana-mana pemain kami, sudah tentu mereka akan bercakap perkara sama mengenai pasukan yang diwakili,” kata Arteta.
Arteta menjelaskan secara terperinci kesukaran yang dihadapi Arsenal sebelum pemergian Aubameyang kerana penyerang itu terpaksa berlatih bersendirian ekoran isu disiplin.
“Anda tahu, Auba pemain yang bahaya. Jika dia mendapat bola dan peluang, dia mahir meletakkannya ke gawang. Dia mampu melakukannya pada bila-bila masa,” katanya.
Aubameyang dijangka mengetuai serangan Blues sambil mendapat sokongan trio Christian Pulisic, Mason Mount serta Raheem Sterling.
Chelsea perlu menang di Stamford Bridge hari ini selepas melalui tempoh sukar dengan menghuni tangga keenam liga menerusi enam kemenangan, tiga seri dan tiga kekalahan.
JESUS TETAP DAPAT KEPERCAYAAN

Bagi Arsenal yang kini menerajui liga dengan 31 mata, dua mengatasi Manchester City, sentuhan Gabriel Jesus tetap menjadi taruhan biarpun penyerang Brazil itu kemarau gol dalam lapan perlawanan (semua pertandingan).
Jesus, 25, yang sudah meledak lima gol daripada 17 perlawanan sejak menyertai Gunners dari City pada kali terakhir menemui gawang ketika menentang Tottenham pada 1 Oktober.
“Ia (nasib malang Jesus). akan berubah. Dalam beberapa situasi, dia mencipta peluang, menyumbang kepada pasukan, membantu kami memenangi perlawanan dan bersaing untuk setiap bola. Jaringan pasti hadir, bersabar,” kata Arteta.