fbpx

202 pemain golf elit remaja sertai golf UUMISM-Sportexcel

PETALING JAYA: Kejohanan Golf Akhir Remaja Malaysia UUMISM-Sportexcel yang berlangsung di Kelab Golf & Desa Ayer Keroh pada 16 November lalu mencipta rekod baharu bagi pertandingan itu apabila disertai 202 pemain golf elit remaja.

202 pemain golf junior itu bertanding dalam 10 kategori, yang dibahagikan kepada pelbagai kumpulan umur, antara enam hingga 18 tahun.

Jelajah tahunan itu menawarkan peluang kepada pemain golf junior untuk mempamerkan bakat mereka dan memperoleh biasiswa golf di University Utara Malaysia International Secondary School Melaka (UUMISM) di Ayer Keroh, Melaka untuk mengejar kecemerlangan akademik dan golf.

Siri jelajah yang menampilkan 12 hingga 14 pertandingan setiap tahun dan anjuran Sportexcel itu telah meningkatkan taraf pemain remaja Malaysia dan ada antara peserta yang dipilih untuk mewakili Malaysia ke pertandingan luar negara setiap tahun di bawah Akademi Golf Hills di Gold Coast, Australia.

“Matlamat kami adalah untuk menyokong pemain golf remaja di negara ini untuk mencapai kecemerlangan akademik serta menjadi pemain golf berkelas tinggi di rantau ini dan meneruskan kecemerlangan dalam arena golf global.

“UUMISM juga menyediakan platform untuk pemain golf junior untuk meneruskan kecemerlangan dalam pelajaran dan golf di satu sekolah,” kata Pengasas UUMISM, David Jerong dalam satu kenyataan.

David Jerong juga merupakan seorang pemain golf profesional dari Korea Selatan tetapi sejak menetap di Malaysia, matlamat utamanya adalah untuk melatih pemain golf remaja negara agar setanding dengan pemain golf dari Korea Selatan dan seluruh dunia.

UUMISM patut dipuji kerana menyokong pembangunan golf remaja di negara ini dan diharapkan lebih banyak syarikat korporat tampil menyokong pembangunan sukan remaja di negara ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sportexcel C. Sivanandan berkata, pemain golf junior mempunyai laluan khas ke kolej di Amerika Syarikat (AS) di mana seseorang pemain itu boleh mengetahui sejauh mana hala tuju kecemerlangannya dalam sukan golf.

Katanya, pasukan golf lelaki dan wanita negara yang cemerlang pada Sukan SEA Vietnam baru-baru ini dengan memenangi pingat emas dan perak juga dipersiapkan melalui jelajah golf remaja.

Dalam pada itu katanya, nama terkenal seperti Shalin Zulkifli, Datuk Nicol David, Ong Beng Hee, Gavin Green dan Kelly Tan adalah produk program pembangunan junior Sportexcel.

habis

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN