KUALA NERUS: Penyerang Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche berazam untuk meneruskan rentak jaringan apabila menentang Kuala Lumpur City (KL City) dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, malam ini.
Pemain kelahiran Ivory Coast itu berkata, hatrik ketika mengalahkan Melaka United, Jumaat lalu, melonjakkan semangatnya yang telah menjaringkan 13 gol dalam semua pertandingan musim ini.
Menurut Tchetche, rakan-sepasukannya bagaimanapun berdepan tugas lebih sukar di tempat lawan berbanding ketika menang 2-0 pada pusingan pertama di laman sendiri, 18 Jun lalu.
“Baki dua perlawanan ini perlu dianggap sebagai final kerana akan menentukan hidup mati pasukan TFC dan kami akan fokus 100 peratus serta mendapatkan kemenangan.
“Rekod kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut dapat memberi keyakinan TFC namun kami masih harus bekerja keras untuk kekal konsisten dan meneruskan rentak.
“Prestasi saya juga semakin baik tetapi tidak kisah siapa penjaring gol. Apa yang penting saya dapat membantu pasukan mara ke Piala AFC kerana itu juga sasaran saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tambah pemain berpengalaman itu, TFC perlu bersikap yakin dengan kemampuan mereka serta disiplin dalam masa yang sama untuk mengharungi pertemuan dengan finalis Piala AFC itu.
Tchetche berkata, skuad Sang Penyu mahu memburu kedudukan lebih baik lagi iaitu naib juara Liga Super dengan baki dua perlawanan dan layak ke kejohanan rantau Asia.
“KL City merupakan antara pasukan yang meningkat musim ini dan mereka bukan lagi pasukan sama yang kami tewaskan sebelum ini.
“Tiada yang mudah dalam bola sepak namun jika kami meletakkan kepercayaan antara satu sama lain dan beraksi sebagai satu pasukan, TFC mampu melakukannya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE