LONDON: Jesse Marsch memperincikan beberapa perkara yang diyakininya mampu menyusahkan Liverpool apabila Leeds United menentang Reds dalam saingan Liga Perdana Inggeris hari ini.
Begitupun pengendali Leeds itu berkata, dia sama sekali mendapati pasukan bimbingan Jurgen Klopp hampir tidak mempunyai ‘kelemahan’.
Leeds akan berkunjung ke Anfield selepas mengalami empat kekalahan dan tiada kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir mereka.
Ekoran itu, jurulatih kelahiran Amerika Syarikat tersebut menghadapi tekanan hebat daripada peminat dalam beberapa minggu kebelakangan setelah kalah berturut-turut kepada Leicester City dan Fulham yang mengheret pasukannya berada di kedudukan tiga terbawah liga.
Di sudut lain pula, meskipun Liverpool bermasalah pada awal musim, mereka masih belum pernah tewas di Anfield dan peluang beraksi di laman sendiri malam ini menambah keyakinan dengan disokong kemenangan 3-0 ke atas Ajax yang membolehkan layak ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Segala kekurangan Reds kini sudah tidak dipandang lagi walaupun terpaksa mengharungi permulaan yang suram dan yang paling teruk sejak sedekad lalu, apabila mencipta kemenangan 1-0 ke atas Manchester City minggu lalu.
Dalam masa sama, Marsch yang sedang meneliti ‘kawasan yang boleh dilalui’ pasukannya dalam perlawanan itu turut tertawa dengan pandangan bahawa tuan rumah mempunyai banyak kelemahan.
“Kelemahan di Liverpool… (ketawa).
“Bukannya tentang kelemahan mereka, tetapi bolehkah kita mencabar mereka dalam intensiti yang mana kita bermain tetapi kita mengehadkan kebolehan mereka sebanyak mungkin,” katanya dalam sidang akhbar semalam. – AGENSI