Sang Kenari rebah di laman sendiri

Sang Kenari rebah di laman sendiri

PEMAIN sayap Kedah, Mohd. Fayadh Zulkifli Amin (kanan) diasak dua pemain Negeri Sembilan dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Prestasi buruk Kedah Darul Aman (KDA) berterusan dalam kempen Piala Malaysia apabila rebah 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam aksi pertama, pusingan 16 akhir sebentar tadi.

Biarpun sudah ‘merehatkan’ ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, namun ia tidak mampu menghalang Sang Kenari daripada mengalami kekalahan keenam berturut-turut musim ini.

Kedah kini memilih laluan amat berduri untuk mencari tiket ke suku akhir apabila bertandang ke Paroi dalam perlawanan timbal balik, 1 November nanti.

Pasukan pelawat terlebih dulu memulakan asakan dengan memperolehi peluang terbaik seawal minit kedua menerusi kapten, Zaquan Adha Abdul Razak yang melepasi perangkap ofsaid dan hanya berdepan satu sama satu dengan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Begitupun, bekas pemain kebangsaaan itu yang turut pernah beraksi dengan Kedah sebelum ini, gagal memanfaatkan peluang apabila tolakannya berjaya dijangkau Ifwat.

Rembatan Yashir Pinto dari luar kotak penalti tidak lama selepas itu pula walaupun kencang, tiba tepat kepada Ifwat untuk ditumbuk keluar yang sekali lagi menyelamatkan gawang tuan rumah.

Seakan ‘terkejut’ dengan serangan bertali arus itu, KDA FC kembali mengatur rentak bagi merencana serangan dan hasilnya mereka berjaya membuka jaringan menerusi penyerang lincah, Fayadh Zulkifli pada minit keenam.

Gol itu terhasil apabila bola yang ditendang pemain NSFC untuk mengeluarkannya dari kawasan bahaya, tiba tepat ke kaki Fayadh untuk dia menyudahkannya dengan rembatan leret, bagi menewaskan penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi di gawang NSFC.

Kedua-dua pasukan selepas itu saling membalas serangan namun hujan lebat yang berterusan seakan merencatkan perancangan apabila bola banyak tersangkut di kawasan air bertakung.

Hanya pada minit ke-41, NSFC berjaya menyamakan kedudukan apabila pemain pertahanan mereka, Che Rashid Che Halim menjaringkan gol menerusi rembatan dari dalam kotak penalti tuan rumah.

Peluang itu hadir setelah Ifwat terlebih dulu keluar dari posisinya untuk menepis bola rembatan seorang lagi pemain NSFC, sebelum bola tersebut singgah ke kaki Che Rashid untuk dia merembat ke gawang yang tidak dikawal.

Hujan yang kian reda sebaik babak kedua bermula membantu kembali merancakkan permainan dan Kedah pada minit ke-53 hampir menambah jaringan menerusi sepakan percuma diambil sayap import dari Jordan Mahmoud Al-Mardi.

Sepakan kencangnya itu bagaimanapun sedikit melepasi palang bagi membolehkan pasukan pelawat dibimbing K. Devan menarik nafas lega.

Minit ke-64, kalangan penyokong tuan rumah sekali lagi mengeluh hampa apabila tandukan penyerang utama Sang Kenari, Ronald Ngah Wanja terkena palang walaupun Ahmad Syihan sudah tertewas dan hanya mampu tergamam melihat pergerakan bola menuju ke gawangnya.

Hanya dua minit selepas itu, NSFC pula yang sebaliknya menambah jaringan apabila bola tandukan penyerang dari Brazil, Matheus Alves Leandro meleret ke kanan pintu gol tuan rumah untuk menjadikan kedudukan 2-1 memihak pasukan pelawat.

Dalam tempoh lima minit masa tambahan perlawanan, kalangan pemain KDA FC jelas berusaha untuk menyamakan kedudukan namun kekentalan barisan pertahanan NSFC selain kecekapan Ahmad Syihan membolehkan pasukan pelawat membawa bekalan ke Paroi. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya