PETALING JAYA: Rekod menentang Terengganu FC mungkin agak ‘menggerunkan’, namun Sri Pahang percaya, semua kembali kepada kosong apabila kedua-dua pasukan berentap dalam aksi pembukaan Piala Malaysia di Kuantan malam ini.
Pengendali Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh menegaskan, motivasi pemainnya di tahap tertinggi dan mereka bersedia mengejutkan Penyu yang hadir dengan rekod sembilan kemenangan tanpa kalah dalam aksi terakhir Liga Super.
“Perkara pertama kami harus sedar, Pahang bermain di laman sendiri, jadi kami perlu manfaatkan kelebihan sebelum bertandang ke tempat lawan pada 1 November.
“Kami mahu menang, bawa bekalan selesa ke Terengganu dan melangkah lebih jauh dalam Piala Malaysia musim ini.
“Saya mengingatkan pemain agar manfaatkan segala peluang dan elak kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan,” katanya.
Sri Pahang kalah 1-2 kepada Terengganu dalam kedua-dua pertemuan mereka dalam Liga Super musim ini.
Sementara itu, Dollah berkata, Steven Rodriguez dan David Rowley akan menjadi sandaran utama Tok Gajah untuk merobek gawang Penyu.
Katanya, kedua-dua pemain mempamer peningkatan prestasi, terutama Rowley.

“Sudah pasti Rodriguez akan menjadi sandaran utama untuk membolosi gawang Terengganu, selain Rowley yang semakin selesa di jentera serangan.
“Ketika pasukan meletakkan harapan kepada Rodriguez, Rowley banyak membantu serangan.
“Pada masa sama, saya mahu pemain bijak memanfaatkan segala peluang yang ada untuk mengecewakan lawan,” katanya.
Sri Pahang merupakan pemenang empat Piala Malaysia, namun kali terakhir memenanginya pada 2014 iaitu lapan tahun lalu.