fbpx

PRU15 tidak ganggu perjalanan Para Sukma 2022

MEGAT D Shahriman Zaharudin (tengah) bergambar bersama kontinjen paralimpik selepas Majlis Penyampaian Amanat dan Taklimat Temasya Sukan Asia Virtus Oceania, Brisbane 2022 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik hari ini. - IHSAN MPM

PETALING JAYA: Temasya Para Sukan Malaysia yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 6 November depan di sekitar Lembah Klang tidak akan terganggu biarpun bertembung dengan hari penamaan calon Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 5 November.

Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharuddin tegaskan pihak penganjur Majlis Sukan Negara (MSN) sudah bersiap siaga dengan persiapan kejohanan sukan tempatan itu setelah ia tertangguh sebelum ini sebanyak dua kali gara-gara penularan wabak Covid-19.

Sebanyak empat lokasi dipilih menjadi venue pertandingan untuk edisi kali ini antaranya Bukit Jalil, Kampung Pandan dan Bukit Kiara membabitkan 294 acara daripada 10 jenis sukan.

 

“Perancangan yang telah dibuat oleh pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan) dan MSN di landasan yang tepat, hari penamaan calon pada 5 November tidak akan memberi kesan kerana apa yang dirancang oleh Majlis Jawatankuasa Tertinggi Para Sukma tetap akan diteruskan.

“Platform Para Sukma ini adalah yang terbaik untuk atlet tempatan kerana sudah dua tahun kita tidak ada Para Sukma, jadi saya ini adalah peluang terbaik untuk menunjukkan segala usaha yang mereka telah kerjakan selama dua tahun lalu untuk buktikan keupayaan masing masing.

“Mereka semua hendak menang, dan saya rasa tiada isu untuk semua atlet, dan penganjuran akan kekal mengikut jadual dan kami akan bersama menjayakan dengan pihak MSN dan KBS untuk jadikan temasya sebaik yang boleh,” jelas Megat Shariman yang ditemui media ketika Majlis Penyampaian Amanat ke Sukan Virtus Oceania, Brisbane hari ini.

 

Sebanyak 12 atlet para bakal mengibarkan cabaran negara di kejohanan itu membabitkan tiga acara iaitu olahraga renang dan ping pong yang berlangsung daripada 5 hingga 11 November.

Ia merupakan kejohanan untuk atlet yang diklasifikasikan sebagai orang kurang upaya intelektual dan ini merupakan kali kedua kontinjen Malaysia menyertainya selepas edisi 2019 di lokasi sama. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN