fbpx

Pecco tangguh rai gelaran dunia

FRANCESCO BAGNAIA mencium trofi Grand Prix Motosikal Malaysia 2022 selepas pelumba Itali itu dinobatkan selaku juara MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, hari ini. Gambar/SHIDDIEQIIN ZON

SEPANG: Drama perebutan gelaran dunia MotoGP masih belum berakhir, sekalipun pendahulu kejuaraan dunia, Francesco Bagnaia mengungguli Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dekat sini, sebentar tadi.

Pelumba Ducati, Bagnaia atau lebih mesra dengan panggilan Pecco mencatat masa terpantas 40 minit 14.332 saat (s) untuk mengutip 25 mata selaku juara.

Bagaimanapun, berikutan pencabar terdekatnya pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga menerusi catatan masa 40:17.105s, maka, Pecco terpaksa menunggu sehingga perlumbaan terakhir di Valencia 6 November ini bagi memuktamadkan perebutan gelaran dunia.

Bagnaia yang berasal dari Itali, sebenarnya hanya perlu memastikan Quartararo menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada GP Malaysia, jika berhajat merangkul gelaran dunia buat kali pertama lebih awal.

Bagaimanapun, tuah kurang menyebelahinya di Sepang apabila dia gagal berbuat demikian setelah juara bertahan dari Perancis itu selesa melengkapkan aksinya di tempat ketiga tanpa dicabar oleh sesiapa.

Bagnaia yang berusia 25 tahun kini mengumpul 258 mata untuk kekal di kedudukan teratas senarai pelumba MotoGP, manakala, Quartararo mengutip 235 mata setelah menambah 16 mata lagi selaku pemenang tempat ketiga pada GP Malaysia.

Naib juara menjadi milik seorang lagi pelumba Itali, Enea Bastianini yang mewakili Gresini Racing dengan catatan masa 40:14.602s.

Bagnaia ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir menyifatkan persembahannya di Sepang sebagai sempurna setelah memulakan perlumbaan dengan baik kerana berjaya kekal berada di kelompok teratas.

“Hari ini, saya telah melaksanakan tugas saya dengan cukup baik dan berjaya mengekalkan kelajuan jentera secara konsisten sejak awal perlumbaan lagi,” katanya.

Sementara itu, Quartararo pula berkata, dia berasa amat berpuas hati dengan keputusan yang berjaya dilakarnya di Sepang.

“Saya berasa sangat bagus kerana telah agak lama saya tidak berada di atas podium, musim ini. Pesaing saya mengharungi hari yang baik hari ini, begitu juga dengan saya,” ujarnya.

Kali terakhir pelumba berusia 23 tahun itu mencatat keputusan podium adalah pada GP Austria, Ogos lalu apabila muncul naib juara pada perlumbaan berkenaan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN