PETALING JAYA : Pemain veteran Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha masih belum memikirkan hasrat untuk menggantung but dalam masa terdekat.
Berhadapan pelbagai situasi getir termasuk difahamkan tidak dibayar gaji sejak Jun lalu namun pemain Melaka United FC ini masih belum ‘serik’ untuk meneruskan kerjaya dalam bola sepak.
Masih bersemangat untuk beraksi di atas padang, Nor Shahrul Idlan yang lebih dikenali dengan Mat Yo menyimpan hasrat untuk mewakili skuad Harimau Malaya.
Begitupun Mat Yo mengakui, masalah untuk mendapat minit permainan susulan masalah yang dihadapi Melaka United sedikit sebanyak memberi kesan kepada peluang buat dirinya untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan.
“Saya masih mahu untuk bersama skuad kebangsaan sekiranya mendapat panggilan, ini kerana kalau diberi peluang saya akan pergi kerana saya percaya saya boleh bantu pasukan kebangsaan.

“Apa pun perkara itu semua saya serahkan kepada jurulatih untuk buat keputusan. Seperti kita tahu sekarang ini dengan masalah Melaka United jadi agak susah untuk saya tunjuk prestasi yang sebenar,” katanya, ketika ditemui pada program jelajah dan klinik bola sepak Piala AFF 2022 hari ini.
Mat Yo mewakili Malaysia sejak 2007 telah mengumpul sebanyak 81 penampilan selain berjaya menjaringkan 14 gol sepanjang kariernya bersama pasukan kebangsaan.
Mengulas cadangan untuk meminjamkan pemain kelab itu ke pasukan yang akan bertanding di Piala Malaysia 2022, Mat Yo ternyata bersetuju dengan saranan itu.
“Kalau Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan cadangan itu, bagi saya ia satu perkara yang baik kerana secara tidak langsung bagi peluang untuk pemain melaka beraksi di pentas terbabit.
“Bagi saya ia cadangan yang baik buat pemain tetapi untuk kelab saya tak tahu. Jadi harap kelab dapat buat tindakan yang betul,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE