LONDON: Musim buruk Liverpool bertambah teruk apabila penyerang mereka, Luis Diaz diketepikan sehingga tamat Piala Dunia 2022 kerana kecederaan lutut.
Diaz mengalami kecederaan pada babak pertama ketika Reds kalah 3-2 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris kelmarin.
Pemain Colombia berusia 25 tahun itu meninggalkan Stadium Emirates dengan memakai tongkat dan pendakap lutut.
Ujian imbasan yang dilakukan mendapati Diaz tidak memerlukan pembedahan, namun kecederaan itu dilaporkan menghalangnya daripada beraksi sehingga Piala Dunia yang bermula pada 20 November.
Colombia bagaimanapun gagal melayakkan diri ke Piala Dunia di Qatar.
Diaz akan terlepas sekurang-kurangnya 10 perlawanan bersama skuad bimbingan Jurgen Klopp yang kini bergelut 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Arsenal.
Ia tamparan besar buat Liverpool kerana Diaz antara pemain berpengaruh sejak menyertai kelab itu dari Porto pada Januari.
Dia berharap akan kembali beraksi apabila Liga Perdana bersambung pada Disember selepas Piala Dunia.
Reds juga sudah berdepan masalah kecederaan dengan Trent Alexander-Arnold masih menanti keputusan kecederaan pergelangan kaki ketika berdepan Arsenal. – AFP