PETALING JAYA: Kos yang terlalu mahal tidak memungkinkan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan video bantuan pengadil (VAR), biarpun teknologi canggih itu sempat ‘singgah’ ke Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam final Piala AFC, Sabtu lalu.
Selepas membuat semua pertimbangan, pengelola Liga M, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mendapati, penggunaan VAR akan membebankan kebanyakan pasukan untuk menyediakan infrastruktur dan jaringan internet yang terhad.
MFL juga memutuskan, perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini tidak akan menggunakan VAR kerana menganggapnya ‘tidak adil’ memandangkan venue lain tidak mampu mempraktikannya.
“Isu VAR ini bukan saja untuk satu perlawanan semata-mata, namun turut membabitkan aksi lain. Untuk menggunakan VAR seperti sedia maklum kosnya terlalu mahal selain kemudahan di stadium juga terhad.

“Ketika ini, banyak perbincangan dalaman dilakukan termasuk mengadakan kursus untuk pengadil selain turut ada cadangan lain bagi mempertingkatkan kualiti pengadilan.
“Jika hanya perlu digunakan di Stadium Nasional Bukit Jalil adalah tidak adil kerana kita perlu juga lihat venue lain seperti di Kota Bharu dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI),” katanya selepas majlis menandatangani penaja bersama syarikat minuman Origina untuk Piala Malaysia 2022 dan Liga Malaysia 2023, semalam.
Kejayaan penggunaan VAR di Bukit Jalil, Sabtu lalu meningkatkan harapan peminat bola sepak tanah air untuk melihat teknologi tersebut digunakan dalam Liga M, terutama membabitkan perlawanan penting seperti Piala Malaysia.
Begitupun, kos teknologi tersebut yang dikatakan mampu mencecah sehingga dari RM18 hingga RM20 juta terlalu mahal buat kebanyakan kelab Liga M, apatah lagi pada ketika masih ada pasukan ‘bergelut’ untuk membayar gaji pemain setiap bulan.