Lewandowski hidupkan peluang tipis Barcelona

Lewandowski hidupkan peluang tipis Barcelona

SERI 3-3 dengan Inter Milan meletakkan Barcelona dalam situasi sukar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Seri 3-3 dengan Inter Milan di Camp Nou hari ini meletakkan Barcelona di ambang penyingkiran dari peringkat kumpulan Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut.

Selepas tumpas di San Siro minggu lalu, anak-anak buah Xavi sedar mereka wajib menang untuk menghidupkan peluang  ke peringkat kalah mati dari Kumpulan C.

Keputusan seri meninggalkan Inter di  tempat kedua dengan tujuh mata, lima mata di belakang pendahulu, Bayern Munich yang mengesahkan tiket ke peringkat kalah mati selepas menumpaskan Viktoria Plzen 4-2.

Barcelona pula di tangga ketiga dengan empat mata.

Inter dan Barca akan menentang Bayern serta Plzen dalam baki dua perlawanan bagi memburu slot ke pusingan 16 akhir.

“Nasib kami kini turut bergantung kepada pasukan lain dan semua itu berlaku kerana salah kami sendiri.

“Selain Liga Juara-Juara, ada pertandingan lain menanti – La Liga, Copa del Rey serta Super Copa, jadi perlu bertahan, percaya dan terus berjuang,” kata Xavi.

Barcelona bermula baik apabila membuka jaringan menerusi Ousmane Dembele pada minit ke-40.

Begitupun, Inter mula memberi tekanan sebaik sahaja babak kedua bersambung apabila Nicolo Barella dan Lautaro Martinez meletakkan pasukan pelawat di depan pada minit ke-50 serta 63.

Keadaan di Camp Nou menjadi gamat apabila Robert Lewandowski merembat gol penyamaan pada minit ke-83, namun Inter sekali lagi memimpin permainan menerusi Robin Gosens, enam minit kemudian.

Ketika Barca berada di ambang kekalahan,  Lewandowski menghidupkan peluang tipis mereka dengan menyudahkan hantaran lintanga Garcia, dua minit memasuki waktu kecederaan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN