LIVERPOOL: Jurgen Klopp menafikan dakwaan dia seorang xenofobia (kebencian terhadap orang asing) ekoran komennya mengenai kuasa kewangan kelab-kelab yang dimiliki jutawan Arab.
Pengendali Liverpool itu menegaskan, dia pasti ‘membenci’ dirinya sendiri jika mempunyai prasangka dalam apa cara sekali pun selepas mencetus ketegangan ketika pasukannya menumpaskan Manchester City 1-0, Ahad lalu.
Sebelum perlawanan, Klopp berkata, Liverpool sukar untuk bersaing dengan tiga kelab yang boleh ‘melakukan apa sahaja mereka mahu’ daripada segi kewangan, merujuk kepada City, Newcastle United dan Paris Saint-Germain (PSG).
“Dalam kes ini, saya tidak merasakannya (xenofobia) sama sekali. Anda tidak boleh menjatuhkan hukuman dengan sesuatu yang jauh daripada keperibadian saya.
“Jika saya…saya tidak ingat perkataan itu (xenophobic), saya akan membencinya. Saya akan membenci diri saya kerana menjadi seperti ini.
“Saya telah banyak kali bercakap mengenai perkara yang agak terbuka menyebabkan timbul salah faham, saya sedar tentang itu.
“Ia berlaku tanpa niat, ada masanya anda bercakap tentang sesuatu dan terfikir: “Ya Tuhanku, ia boleh ditafsir seperti ini!” kata Klopp.
Klopp percaya penilaiannya terhadap situasi kewangan City, Newcastle dan PSG telah disalah erti dan mungkin perkara disengajakan oleh pihak tertentu.
Dalam perkembangan berkaitan, Klopp diberi tempoh sehingga esok untuk menjawab tuduhan kerana berkelakuan tidak wajar pada perlawanan Ahad lalu.
Jurulatih dari Jerman itu dilayangkan kad merah kerana melepaskan kemarahan terhadap penjaga garisan, Gary Beswick yang tidak menaikkan bendera selepas Bernardo Silva menjatuhkan Mohamed Salah.
Klopp menjerit di hadapan Beswick, menyebabkan pengadil Anthony Taylor tiada pilihan selain melayangkan kad merah dan mengarahkan meninggalkan padang. – AGENSI