KOTA BHARU: Selangor FC memulakan kempen memburu Piala Malaysia ke-34 dengan langkah kanan apabila menumpaskan Kelantan United 2-0 pada aksi pertama, pusingan 16 akhir di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Dua jaringan Caion memastikan Red Giants belum tewas dalam semua perlawanan sejak diambil alih oleh Tan Cheng Hoe, sekali gus membawa bekalan selesa dalam aksi kedua bulan depan.
Tuan rumah yang dibimbing pengendali baharu, Nazrulerwan Makmor dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat hasil tandukan Caion pada minit ke-38 selepas menerima hantaran lintang Hein Htet Aung.
Ketinggalan 0-1, Kelantan United tuan rumah cuba bangkit menyamakan kedudukan namun terus gagal memanfaat peluang dicipta.
Bermula babak kedua, Red Giants semakin bernafsu memburu jaringan dan hampir membolosi gawang Kelantan United menerusi rembatan jarak jauh Brendan Gan pada minit ke-57, namun ia sekadar menggegarkan tiang gol.
Caion sekali lagi menggembirakan kem pelawat apabila memanfaatkan peluang terhidang dengan menolak mudah bola ke dalam gawang Kelantan United pada minit ke-64 selepas memeriman hantaran Kelvin Kyei.
Pemain terbaik untuk perlawanan #KLUSFC malam ini! Herlison Caion! 🇧🇷
Dikuasakan oleh @MbiSelangor #MKLK #TMPialaMalaysia2022 pic.twitter.com/TYWDex0Dnk
— Selangor FC (@selangorfc) October 26, 2022
Selangor FC berpeluang menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun sepakan diambil Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi pada minit ke-83 berjaya ditangkap kemas oleh Mohammad Fikri Che Soh.
Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan Selangor FC meraih bekalan selesa menjelang aksi kedua pada 1 November ini. – UTUSAN ONLINE