PETALING JAYA: Menghampiri satu dekad penguasaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), tiada mana-mana pasukan berjaya memberi cabaran kepada kelab itu terutama bagi perebutan kejuaraan Liga Super.
Melihat kepada perancangan, pengurusan, kewangan, fasiliti, barisan pemain dan pelbagai faktor lagi tidak mustahil kelab JDT akan terus mendominasi saingan liga utama tempatan untuk tempoh masa lebih lama sejak memenanginya pada 2014.
Justeru, situasi tersebut sepatutnya memberi satu tamparan besar kepada pasukan-pasukan lain supaya tidak terus ‘terlena’ dibuai kejayaan lalu ketika JDT pula terus mengorak langkah demi langkah dalam memajukan bola sepak kelab berkenaan.
Lebih manis pada musim ini, JDT bukan sahaja mempertahankan trofi Liga Super dan Piala Sumbangsih tetapi turut menjulang Piala FA.
Selain itu kejayaan pasukan utama, skuad junior JDT turut berjaya menjadikan tahun ini sebagai tahun yang gemilang buat kelab berkenaan apabila meraih pelbagai kejuaraan.
Akademi JDT menyumbang tujuh piala, termasuk JDT III yang memenangi Piala Presiden (B-21) buat pertama kalinya manakala JDT II pula dinobatkan sebagai juara Liga Perdana.
Untuk tahun ini, hanya Piala Malaysia masih tertinggal untuk menjadi rebutan dan sekiranya JDT memenanginya bermakna pasukan-pasukan lain hanya mampu berputih mata melihat kejayaan dikecapi skuad Harimau Selatan.-UTUSAN