MELAKA: Tiada arahan daripada pucuk pimpinan tertinggi UMNO supaya mesyuarat cawangan-cawangan mengemukakan usul agar parti itu bersama Barisan Nasional (BN) bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, setakat ini tiada sebarang ketetapan atau arahan khusus dikeluarkan kepimpinan tertinggi parti berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat cawangan yang akan membawa usul sedemikian dalam mesyuarat masing-masing, memandangkan ahli di peringkat akar umbi mempunyai ruang menyuarakan pandangan.
“Di peringkat cawangan, adalah perkara biasa pelbagai cadangan dikemukakan termasuk berkaitan hala tuju parti menjelang PRN Melaka tidak lama lagi.
“Mungkin ada yang mencadangkan supaya UMNO dan BN bergerak secara solo, namun itu hanyalah pandangan di peringkat bawah dan belum tentu menjadi keputusan parti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Seri Negeri, di sini semalam.
Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, UMNO sebagai sebuah parti berdisiplin akan memastikan setiap keputusan penting dibuat secara kolektif di peringkat pusat sebelum dilaksanakan di semua peringkat.
Beliau mengakui terdapat sentimen dalam kalangan sebahagian ahli yang mahu parti kembali bertanding atas kekuatan sendiri, khususnya selepas prestasi memberangsangkan pada PRN Melaka 2021 lalu apabila BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, landskap politik semasa memerlukan pertimbangan lebih luas termasuk aspek kestabilan dan kerjasama politik yang sedang berjalan ketika ini bersama Pakatan Harapan (PH).
“Kerajaan negeri hari ini dibentuk melalui pendekatan perkongsian kuasa dan setakat ini hubungan antara parti berada dalam keadaan baik serta stabil.
“Perkara ini perlu diambil kira dalam membuat sebarang keputusan, selain memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.
Katanya, UMNO dan BN Melaka akan terus memperkukuh jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi PRN akan datang.
“Apa juga keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan nanti, kita di peringkat negeri dan akar umbi akan akur dan memastikan jentera bergerak sebagai satu pasukan,” katanya. – UTUSAN










