Harimau Selatan tutup liga dengan sempurna

Harimau Selatan tutup liga dengan sempurna

Kemenangan 3-0 ke atas Sabah mengekalkan rekod tanpa kalah JDT pada saingan Liga Super 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI : Juara Liga Super 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) melebgkapkan saingan musim ini dengan rekod tanpa kalah setelah membenam Sabah FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Dengan berakhirnya perlawanan itu, JDT mengesahkan kejuaraan liga buat kali kesembilan berturut-turut, setelah memenangi buat pertama kali pada musim 2014.

Penyerang sensasi JDT, Bergson Da Silva muncul wira pasukan apabila meledak dua gol membantu pasukan menjinakkan Sang Badak sekali gus meranapkan peluang Sabah untuk menamatkan musim di posisi kedua.

Pada awal permainan, aksi kedua-dua pasukan tampak seimbang namun tidak ada percubaan berbahaya dihasilkan.

Gol pembukaan hadir pada minit ke-17 hasil jaringan Bergson yang memanfaatkan umpanan cantik Arif Aiman Hanapi yang melakukan larian dari sayap kanan.

Stadium Sultan Ibrahim terus bergema apabila Arif Aiman meledak gol kedua perlawanan menerusi sepakan bebas menerjah penjuru kanan gol menewaskan jangkauan penjaga gol, Damien Lim Chien Khai pada minit ke-38.

Bergson hampir menambah jaringan pada akhir babak pertama namun percubaan yang dilakukan dari luar kotak penalti tepat ke arah penjaga gawang lawan.

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Hector Bidoglio terus menggandakan asakan bagi menambah jaringan namun Chien Khai berjaya menafikan percubaan jentera serangan JDT.

Pada minit ke-55, gawang skuad bimbingan Ong Kim Swee akhirnya bolos lagi menerusi jaringan akrobatik yang dihasilkan Bergson menewaskan kawalan penjaga gawang lawan.

Pada minit ke-70, Bergson menambah jaringan sekali lagi menerusi sepakan gunting namun gol itu dibatalkan pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali kerana berada di kedudukan ofsaid.

Kim Swee yang membawa masuk Amri Yahyah pada pertengahan babak kedua hampir mencipta jaringan namun rembatan pemain kuda tua itu sedikit tersasar.

Bergson terus meliar di zon kawasan lawan bagi melengkapkan hatriknya namun tidak berjaya menambah jaringan sehingga wisel penamat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.