MANCHESTER: Erik ten Hag memuji semangat Manchester United yang memerlukan gol waktu kecederaan menerusi pemain gantian, Scott McTominay untuk menewaskan Omonia Nicosia 1-0 dalam saingan Liga Europa, hari ini.
McTominay yang dibawa masuk kurang 10 minit sebelum tamat permainan merembat gol kemenangan selepas menerima umpanan Jadon Sancho.
Kemenangan itu bermakna United kekal tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan E, Real Sociedad yang menewaskan Sheriff Tiraspol 3-0 untuk kemenangan keempat mereka.
United menguasai dan mempunyai beberapa peluang terbaik untuk menjaringkan gol tetapi sering berdepan dikecewakan pertahanan lawan sehinggalah McTominay tampil sebagai penyelamat.
💬 The boss has given his reaction to tonight's win. #MUFC || #UEL
— Manchester United (@ManUtd) October 13, 2022
Ten Hag berkata, skuad bimbingannya menunjukkan banyak kreativiti dan peluang menjaringkan gol, namun nasib kurang menyebelahi mereka.
“Apa yang penting pasukan ini terus berusaha dan tidak berputus asa. Mereka terus percaya dan akhirnya kami mendapat ganjaran.
“Saya sangat gembira dengan sikap pemain. Ia mengenai semangat dalam pasukan. Ia bukan hanya mengenai 11 pemain.
“Pemain gantian boleh memberi impak yang besar apabila mereka mempunyai sikap dan fokus yang betul,” kata jurulatih kelahiran Belanda itu.
Penjaga gol Omonia, Francis Uzoho menjadi pemain terbaik pelawat apabila menafikan 11 daripada 12 cubaan tepat United.
Kemenangan itu mencerahkan harapan United untuk mengungguli peringkat kumpulan dan akan menentang Sheriff Tiraspol di tempat sendiri pada 27 Oktober ini. – AGENSI