Cheng Hoe idam permulaan sempurna bersama Selangor

Cheng Hoe idam permulaan sempurna bersama Selangor

TAN Cheng Hoe berharap Selangor meraih keputusan positif dalam perlawanan pertamanya sebagai jurulatih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe mengidamkan permulaan cemerlang dalam tugasan pertamanya sebagai Ketua Jurulatih Selangor FC apabila Red Giants melayani kunjungan Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada aksi Liga Super malam ini.

Kehadiran Cheng Hoe yang dilantik Jumaat lalu memberi sinar buat Selangor yang berhasrat untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga apabila kini menghuni tangga lapan dengan mengumpul 20 mata.

Bagaimanapun Cheng Hoe tetap mengingatkan anak-anak buahnya untuk tidak memandang rendah lawan yang sekali lagi dipalit dengan masalah tunggakan gaji kerana Melaka United hanya satu tangga sahaja di bawah Selangor dalam carta liga.

“Aksi pertama bersama pasukan baharu tidak semudah yang disangka dan itulah yang dialami oleh mana-mana jurulatih sekali pun.

“Mengenai aksi bertemu Melaka, meskipun pasukan tersebut sedang dilanda krisis dalaman ketika ini, ia tidak memberi jaminan atau laluan mudah buat kita.

“Ini kerana di atas padang apa sahaja boleh berlaku dan mana-mana pemain yang beraksi, pasti akan memberikan seratus peratus sekali gus letak tepi masalah di luar padang,” jelas Cheng Hoe ketika ditemui media di padang latihan Selangor FC di Seksyen 9 Shah Alam kelmarin.

TAN Cheng Hoe (kanan) bersama ketua pasukan Selangor, Brendan Gan dalam sesi latihan.

Dalam masa yang sama, penyerang pasukan, Shahrel Fikri Ahmad Fauzi yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan berharap dapat menambat hati penggendali baru itu untuk disenaraikan berada dalam kesebelasan utama.

Shahrel pernah menjadi taruhan Cheng Hoe ketika menyarung jersi kebangsaan, namun untuk musim ini bersama Selangor, penyerang kelahiran ini tidak banyak diberikan minit permainan.

“Bagi saya setiap jurulatih ada gaya masing masing, dan pada pandangan saya, Cheng Hoe mengamalkan pendekatan penguasaan bola, jadi tidak mustahilah untuk pemain untuk membawa falsafah itu di atas padang.

“Setiap pemain ada peluang yang akan diberikan oleh jurulatih, InsyaAllah saya tunjukkan keupayaan saya di sini dan mengenai minit permainan, memang saya tidak boleh nak cakap, Cheng Hoe hadir pun dengan pemain sedia ada dalam pasukan, jadi tidak boleh nak ubah apa apa, jadi InsyaAllah saya percaya peluang akan datang,” jelas Shahrel. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya