BARCELONA: Barcelona yang masih kecewa gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara menyasarkan 19 pemain baharu pada jendela perpindahan Januari, di mana bintang Manchester United, Chelsea dan Liverpool antara yang berada dalam radar.
Gergasi Catalan itu hanya tewas sekali dalam saingan La Liga musim ini, dan tiga mata ditinggalkan pendahulu, Real Madrid.
Begitupun, pengurus mereka, Xavi Hernandez berada di bawah tekanan selepas mereka kandas di peringkat kumpulan saingan elit Eropah buat kali kedua berturut-turut biarpun turun dengan reputasi selaku juara lima kali.

Bagi membawa masuk pemain sasaran, Barca dikatakan bakal melepaskan beberapa tonggak, termasuk Frenkie De Jong yang menjadi buruan United dan Liverpool.
Bek kanan United, Diogo Dalot antara pemain yang berada dalam senarai teratas ‘buruan’ Barcelona, selain gandingan Chelsea, N’Golo Kante dan Jorginho.
Jorginho menjadi pemain penting di bawah jurulatih baharu Blues, Graham Potter, malah dia juga memainkan peranan besar ketika kelab London itu dibimbing Thomas Tuchel dan Frank Lampard.
Pemain tengah Liverpool, Fabinho dari Brazil turut mendapat perhatian Xavi bersama James Ward-Prowse (Southampton) dan Declan Rice (West Ham).

Bintang Manchester City, Rodri juga berada dalam pemerhatian Barcelona tetapi seperti Rice, peluangnya untuk berhijrah ke Sepanyol tampak sukar.
Wilfred Ndidi dari Leicester City seorang lagi pemain yang dijejaki. Ketika The Foxes mengharungi permulaan yang sukar, berpindah ke Barcelona mungkin pilihan terbaik buat pemain tengah Nigeria itu.
Selepas gagal melengkapkan perpindahan impian ke Barcelona sebelum ini, bintang tengah Wolverhampton, Ruben Neves sekali lagi dikaitkan dengan gergasi Sepanyol itu.
Sasaran lain Barcelona termasuk Vanderson, Thomas Meunier, Stephane Singo, Sandro Tonali, Martin Zubimendi, Leon Goretzka, Juan Foyth, Guido Rodriguez, Jeremie Frimpong dan Dani Parejo. – AGENSI