KOTA BHARU: Biarpun hanya Melaka United dan Sarawak United ‘sangkut’ dalam permohonan mendapatkan lesen kebangsaan, namun sebenarnya banyak pasukan Liga Malaysia (Liga M) bergelut untuk memenuhi syarat pelesenan bagi membolehkan mereka beraksi pada liga tempatan serta kejohanan kelolaan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Kebanyakan pasukan belum pulih sepenuhnya selepas terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda sejak dua tahun lalu, dedah Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail.
Katanya, FAM mendapati banyak kelab berdepan masalah kewangan walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik.
“Bagaimanapun FAM menyerahkan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menilai keupayaan setiap kelab sebelum membenarkan mereka menyertai kejohanan dan liga.
“FAM telah memberi hak dan kebenaran untuk MFL menganjurkan kejohanan serta liga tempatan dan kita tetapkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi terutama dari segi kewangan dan teknikal,” katanya kepada Mingguan Malaysia kelmarin.
Rosmadi menasihatkan kelab-kelab bola sepak tempatan memastikan aspek kewangan mencukupi serta beberapa kriteria lain dipenuhi sebelum menyertai Liga M.
Katanya, tidak dapat disangkal sesebuah kelab bola sepak memerlukan dana kewangan yang banyak dan kegagalan memenuhi aspek tersebut akan menyebabkan mereka berdepan masalah pada pertengahan musim.
Rosmadi berkata, perlu difahamkan pelesenan kelab bola sepak ini sangat perlu untuk memenuhi kriteria-kriteria ditetapkan FAM dan AFC.
Katanya, jika gagal kelab-kelab tempatan akan berdepan masalah untuk menyertai kejohanan kelolaan AFC.