PARIS: Selepas berbulan keputusan ‘bocor’, Karim Benzema akhirnya disahkan sebagai pemenang Ballon d’Or 2022, sebentar tadi.
Penyerang Real Madrid itu muncul pemain Perancis kelima memenangi anugerah berprestij tersebut, dan pada usia 34 tahun dia muncul pemenang paling tua sejak Stanley Matthews pada 1956.
Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo menguasai 12 daripada 13 pemenang terakhir Ballon d’Or, manakala Luka Modric memecah dominasi itu dengan menang pada 2018.
Messi bagaimanapun langsung tidak tercalon pada 2022, manakala Ronaldo menduduki tangga ke-20.
🇫🇷 Karim Benzema. It's his. #ballondor || #UCL pic.twitter.com/yV7l0XO7Aj
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) October 17, 2022
Benzema mengharungi tahun yang gemilang bersama kelab dan negaranya pada musim 2021-2022 sehingga kemenangannya tidak lagi mengejutkan.
Dia memainkan peranan penting buat Real ketika memenangi Liga Juara-Juara dan La Liga, selain membantu Perancis muncul juara Liga Negara-Negara, Oktober tahun lalu.
Sementara itu bintang Sepanyol dan Barcelona, Alexia Putellas menjulang trofi Ballon d’Or Feminin buat kali kedua. – AGENSI