fbpx

Tze Yong puas sumbang pingat emas buat Johor

NG Tze Yong meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki Sukma 2022 selepas menumpaskan Leong Jun Hao di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID

KUALA LUMPUR: Meskipun perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong sejak awal lagi menjadi pilihan utama untuk memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2022, pemain kelahiran Johor itu menyifatkan perjalanannya untuk meraih kejuaraan di temasya ini tidak semudah yang disangka.

Tze Yong berjaya menumpaskan rakan seperjuangan dalam kem kebangsaan, Leong Jun Hao yang mewakili Kuala Lumpur dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur semalam, namun dipaksa beraksi lebih satu jam sehingga ke set penentuan sebelum melakar kemenangan 18-21, 21-19, 21-12.

Baginya, kejohanan ini walaupun dibarisi pemain bertaraf negeri, namun ia banyak mengajarnya untuk lebih bersabar dalam gelanggang selain peluang untuk dia mempertajamkan lagi gaya permainannya.

“Saya rasa amat bangga dengan pasukan Johor dan bersyukur dengan kejayaan ini.

“Saya rasa ini merupakan tempat untuk saya berlatih menguatkan lagi kesabaran dan mental saya, bagaimana saya nak mengawalnya, jadi saya amat berpuas hati dengan pencapaian saya dan saya harap dapat meneruskan momentum ini,”jelas Tze Yong selepas tamat perlawanan.

Kejayaan menggondol emas merupakan pemangkin semangat untuk Tze Yong yang bakal menyertai Masters Indonesia yang bertaraf Super 100 pada 18 hingga 23 Oktober depan.

“Saya terpaksa menarik diri Terbuka Denmark kerana kalau tidak saya tidak boleh menyertai saingan di Indonesia.

“Saya hanya mahu fokus kepada setiap perlawanan di Indonesia nanti dan lihat peningkatan saya di sana.

“Untuk layak ke Saingan Akhir Dunia, saya rasa sukar untuk saya cuba berjuang dapatkan tempat untuk beraksi disana,” tambah Tze Yong yang memburu untuk berada dalam kelompok 30 terbaik menjelang hujung tahun ini. – UTUSAN ONLINE

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN