fbpx

Tien Chien ketuai cabaran Ampang Jaya BC

CHOU TIEN CHEN

PETALING JAYA: Menjelang saingan badminton Purple League Profesional (SRPLP) yang membuka tirai di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu ini, Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC) berjaya memancing pemain No. 4 dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan.

Selain Tien Chen, antara nama besar yang membarisi AJBC tahun ini adalah beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai, jaguh perseorangan wanita, Goh Jin Wei serta pasangan lelaki dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutam-Muhammad Reza Pahlevi yang menghuni ranking ke-53 dunia.

Menurut pengurus pasukan AJBC, Voon Siaw Yie, biarpun pasukannya tidak dibarisi nama besar seperti Kento Momota dan Lee Zii Jia seperti pada musim 2019, mereka tetap mempunyai misi yang tersendiri iaitu untuk memburu kejuaraan sulung SRPLP pada musim ini.

GOH JIN WEI

“Dengan barisan pemain berkelas dunia ini, kami yakin mampu mencipta kejutan pada edisi kali ini. Kami telah melalui persediaan yang rapi, dan saya harap momentum ini akan diteruskan dalam SRPLP,” jelas Siaw Yie.

Bagi musim baharu ini, lapan pasukan terdiri dari pasukan tempatan dan antarabangsa bakal bersaing untuk merebut kejuaraan Purple League.

Ampang Jaya BC yang muncul juaraedisi 2017/2018 diletak dalam kumpulan A bersama wakil Indonesia, Kelab Badminton Chandra Wijaya, Singapura dan seteru mereka, Kelab Badminton Petaling.

Sementara itu, juara bertahan Kelab Badminton Puchong United bakal berdepan laluan getir di dalam kumpulan B bersama-sama Kelab Badminton Serdang, Kelab Badminton Sena Bangkok dari Thailand dan wakil Vietnam, Kelab Badminton Ho Chi Minh. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN