KUALA LUMPUR: Diletak sebagai pilihan utama, namun dimalukan 2-0 oleh kelab kerdil, Kuala Lumpur City dalam final Piala Malaysia tahun lalu skrip yang tidak mahu diulang Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila menentang Terengganu FC pada perebutan trofi Piala FA malam ini.
Biarpun beliau bukanlah jurulatih yang bertanggungjawab ketika Harimau Selatan tumpas dalam perlawanan di Bukit Jalil itu, namun Hector Bidoglio tahu apa yang berlaku pada 30 November tahun lalu dan percaya kekalahan telah memberi pengajaran besar buat pemainnya.
“Kita tidak fikir mengenai perkara lalu kerana sentiasa memandang ke depan. Kita belajar daripada kesilapan lampau dan kita sentiasa bekerja keras daripada pengurusan sehinggalah pemain.
“Kita akan meneruskan (apa dilakukan jurulatih terdahulu) dan mengekalkan intensiti yang sama dan bekerja keras. Saya akan tunjukkan cara untuk memenangi perlawanan ini.
“Kita menghormati TFC tetapi saya yakin kita mampu memberikan persembahan yang fantastik. Kami berharap perlawanan akan berpihak kepada kita,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Ditanya mengenai ancaman bakal diterima daripada skuad Penyu, jurulatih kelahiran Argentina itu berkata, mereka sudah membuat analisis terhadap lawan dan memiliki ramuan untuk menjinakkan mereka.
“Kita sudah menentang mereka sebelum ini, jadi kita tahu mengenai pasukan itu. Mereka bermain penguasaan bola dan memiliki pemain yang baik.
“Tetapi kita perlu fokus pada pasukan sendiri dan bermain corak permainan kita, perlu ‘compact’ dan menutup ruang untuk mereka melancarkan serangan. Semua pemain bersedia untuk diturunkan pada aksi malam ini,” jelasnya.