fbpx

Siti Sarah nekad pilih lompat bergalah

NOR Sarah Adi bergambar bersama catatan yang dilakukan ketika memenangi pingat emas 100 meter wanita pada Sukan Malaysia ke-20 di Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR: Sekalipun, dinobatkan selaku ratu pecut Sukan Malaysia (Sukma) ke-20, Siti Sarah Adi nekad dengan keputusannya untuk memilih lompat bergalah sebagai acara pilihan dan Sukan Asia tahun depan menjadi sasaran utamanya.

Hari ini, atlet Pahang berusia 22 tahun itu memenangi pingat emas dalam acara 100 meter wanita akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil dekat sini.

Siti Sarah memecut laju tanpa dicabar oleh pesaing terdekatnya untuk mencatat masa 11.91 saat (s).

Pingat perak menjadi milik, Nor Aishah Rofina Aling dari Sabah yang melakar masa 12.08s, manakala, gangsa diraih oleh atlet Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohd. Rizal yang melakukan catatan 12.10s.

Ketika ditemui pemberita, Siti Sarah berkata, selepas berakhir Sukma, dia akan mula mengalihkan fokus sepenuhnya untuk lompat bergalah dengan Sukan Asia sebagai sasaran utama.

“Saya berharap dapat memperbaiki rekod peribadi yang saya lakukan pada Sukan SEA Vietnam dan seterusnya cuba melayakkan diri ke Sukan Asia kalau ada rezeki.

NOR Sarah Adi (kanan) meraikan kejayaan memenangi perlumbaan 100 meter wanita pada Sukan Malaysia ke-20 di Bukit Jalil hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

“Keputusan telah saya buat, untuk 100m saya rasa ada lebih ramai atlet yang mampu menggalas cabaran. Jadi, fokus saya selepas ini untuk lompat bergalah sahaja,” katanya.

Siti Sarah mencipta kejutan dalam penyertaan sulungnya pada Sukan SEA yang lalu apabila memenangi pingat emas buat Malaysia dalam acara lompat bergalah, walaupun, perancangan awal dia sepatutnya hanya menyertai 4x100m.

Mengulas pula pencapaiannya, semalam, Siti Sarah memberitahu, dia berasa kagum dengan pencapaian sendiri apabila berjaya melakukan catatan bawah 12 saat.

“Untuk acara pecut, saya hanya sempat buat persiapan yang singkat. Alhamdulillah 11.91s, daripada AUG (Sukan Universiti Asean) sampai sekarang saya konsisten bawah 12 saat. Saya masih kekalkan catatan masa itu.

“Saya puas hati dengan persembahan saya, dan apa yang penting saya kekal tenang semasa berlari,” ujarnya.
Sarah dijangka beraksi dalam acara akhir lompat bergalah pada Ahad ini. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN