PETALING JAYA: “Sama ada Perak ada duit yang begitu banyak atau bila dah tak ada kerja terima gaji yang lebih kecil, itu sahaja cerita dia.”
Itu komen pemilik Johor Darul Ta”zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ditanya mengenai keputusan Perak FC melantik Lim Teong Kim sebagai ketua jurulatih mereka musim depan.
Minggu lalu, The Bos Gaurus mengikat bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu bagi menggantikan Yusri Che Lah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023.
Tunku Ismail telah ditanya oleh peminat mengenai perkembangan tersebut dalam satu sesi temubual di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi kerana JDT sebelum ini pernah menolak untuk mendapatkan khidmat Teong Kim kerana gaji yang diminta terlalu tinggi.
“Sama ada Perak betul-betul kaya atau dia dah turunkan gaji dia pasal tak ada kerja. Saya rasa itu situasinya, saya seorang yang ‘very straightforward’, ” kata Tunku Ismail.
Tunku Ismail sebelum ini pernah mendedahkan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu meminta gaji yang tidak sanggup dibayar oleh JDT ketika memintanya membimbing kelab pembangunan mereka.
“Kalau untuk pembangunan, boleh tetapi berapa gaji dia? Masa dia mahu kerja dengan saya, dia minta 70,000, 80,000 euro (RM327,000-RM374,000) sebulan dan mahu membawa dua lagi pembantu,” kata Tunku Ismail ketika itu.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga pernah mendedahkan gaji Teong Kim mencecah RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai ketika dia memegang jawatan sebagai Pengarah AMD. – UTUSAN ONLINE