Shamsul Iskandar dan Albert Tei dituduh esok

Shamsul Iskandar dan Albert Tei dituduh esok

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei akan didakwa di mahkamah esok atas pertuduhan rasuah.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Azam berkata, Shamsul Iskandar dan Tei dijangka berdepan lima pertuduhan berkaitan rasuah dan akan dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau berkata, siasatan kes berkenaan telah lengkap dan kedua-dua mereka akan dituduh di mahkamah mengikut Akta SPRM 2009.

“Esok, Shamsul Iskandar dan Tei akan berdepan empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur manakala, Jumaat ini pula satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Shamsul Iskandar akan dituduh mengikut Seksyen 17(a) (menerima suapan), manakala Tei pula akan dituduh mengikut Seksyen 17(b) (memberi suapan),” katanya.

Katanya, seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu Sofia Rini Buyong tidak dituduh dan dia diklasifikasikan sebagai saksi.

Azam berkata, dalam tempoh seminggu siasatan, seramai 32 saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan, tidak termasuk tiga yang ditangkap.

Dalam perkembangan sama, Azam juga menafikan dakwaan dibuat isteri Tei kononnya pihaknya tidak melanggar prosedur ketika serbuan di kediaman Tei baru-baru ini.

“Dakwaan itu tidak benar. Pegawai saya telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah menyerahkan senarai barang kepada Tei,” katanya.

Pada masa sama, katanya, beliau turut menafikan pegawainya mengacukan pistol terhadap Tei baru-baru ini.

“Ini (dakwaan) juga tidak benar. Laporan polis telah dibuat, bukti dan rakaman juga telah diserah kepada polis,” katanya.

Mengulas isu kenapa Tei ditahan lebih awal sedangkan beliau bersedia memberi keterangan, Azam berkata, beliau menjelaskan, penahanan Tei dipercepatkan kerana ada asas berbuat demikian.

“Dalam kes berprofil tinggi, siasatan kes adalah satu perkara yang mungkin sering berubah dimana bila berlakunya ada satu keperluan.

“Siasatan awal yang telah dijalankan oleh pegawai saya menunjukkan ada asas untuk beliau dipanggil lebih awal, maka pegawai penyiasat telah
arahkan beliau untuk hadir awal.

“Namun, dia (Tei) enggan untuk bekerjasama termasuk selepas notis diberikan. Maka, tindakan mengambil beliau di rumah terpaksa dijalankan oleh SPRM.

“Jadi, tindakan dari segi
perubahan tarikh dan sebagainya adalah satu perkara yang biasa berdasarkan kepada keperluan kes berkenaan. Dan tidak semua kes akan seperti mana kes kelaziman seperti yang lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN