MANCHESTER: Bos Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan akan diberi dana 100 juta pound (RM516.49 juta) untuk dibelanjakan pada jendela perpindahan Januari nanti tetapi hanya jika Cristiano Ronaldo meninggalkan kelab itu.
Jurulatih dari Belanda itu mempunyai 70 juta pound (RM361.54 juta) untuk dibelanjakan pada musim sejuk ini tetapi sekiranya dia berjaya mendapatkan perpindahan untuk Ronaldo, tambahan 30 juta pound (RM154.95 juta) akan diberikan kepadanya, menurut The Sun.
Ten Hag telah melakukan enam pembelian dengan jumlah keseluruhan sekitar 230 juta pound (RM1.18 bilion), namun dia masih mencari sekurang-kurangnya tiga lagi pemain untuk membolehkan United menyaingi Manchester City dan Liverpool dalam perebutan gelaran Liga Perdana.
United nampaknya tidak berputus asa untuk mendapatkan pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong.

Mereka juga dikaitkan dengan ramai penyerang pada jendela musim panas lalu tetapi spekulasi sedikit reda selepas Marcus Rashford menunjukkan prestasi cemerlang pada awal musim.
Ronaldo, 37, menikmati gaji 450,000 pound (RM2.32 juta) seminggu dan pemergiannya akan membolehkan kelab jimat sekitar 30 juta pound semusim. Lebihan dana itu akan diberikan kepada Ten Hag untuk memperkukuhkan pasukan.
Masa depan Ronaldo di Old Trafford tidak menentu selepas dia memberitahu kelab untuk pergi mencari pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, memandangkan tiada kelab yang menawar diri untuk mendapatkannya, pemilik lima anugerah Ballon d’Or lima tersebut terperangkap di Old Traffprd dengan perjanjian semasa hanya akan berakhir pada 2023.
Memburukkan lagi keadaan untuk kapten Portugal itu, dia telah kehilangan tempat dalam kesebelasan utama kepada Marcus Rashford.
Penyerang Portugal itu menjaringkan gol pertamanya musim ini dengan menyempurnakan sepakan penalti ketika United menumpaskan Sheriff Tiraspol 2-0 dalam kempen Liga Europa awal pagi tadi.
Begitupun, selain kemarau jaringan yang sudah berakhir, Ronaldo turut menjadi tumpuan kerana menolak hasrat seorang petugas perubatan yag dilihat mahu berswaforo dengannya pada rehat separuh masa.

Video kapten Portugal itu menepis permintaan petugas wanita tersebut di Stadium Zimbru di Chisinau tular di laman sosial menyebabkan dia dikecam peminat.
Dalam perlawanan itu, Ronaldo meledak gol ke-699 sepanjang kariernya bersama Manchester United dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-39.
Selepas gergasi Eropah seperti Bayern Munich, Real Madrid dan Chelsea menjauhkan diri daripada perpindahan untuk Ronaldo, dia mendapati dirinya hanya memikat kelab-kelab kaya dari Arab Saudi.
Al-Hilal menawarkan superstar United itu kontrak bernilai 210 juta pound (RM1.08 bilion) hanya untuk dua musim, menurut media Sepanyol, Marca. – AGENSI