MANCHESTER: Isu perpindahan penyerang Manchester United, Cristiano Ronaldo masih belum reda apabila dia dikaitkan pula dengan kelab Itali, Udinese.
Kenyataan yang dikeluarkan Ronaldo menerusi media sosial bahawa dia mahu beraksi dalam Piala Dunia 2022 dan Kejohanan Eropah (Euro) 2024 menarik perhatian Udinese serta pendahulu Serie A, Napoli.
“Cita-cita saya hebat. Saya mahu hadir dalam Piala Dunia dan Kejohanan Eropah.
“Saya berasa sangat bermotivasi lagi. Perjalanan saya belum selesai,” ujar Ronaldo.
Penjaga gol Udinese, Marco Silvestri yang melihat petikan itu meminta Ronaldo menyertai pasukannya berikutan permulaan cemerlang mereka musim ini.
Udinese yang menghuni tangga ketiga Serie A ketika ini kemudian menyiarkan emoji mata di bawah komen Silvestri sebagai isyarat sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Ronaldo, 37, berminat untuk pergi tetapi ke kelab yang mampu menawarkan tiket beraksi dalam Liga Juara-Juara.
Itu mengetepikan Udinese pada masa itu tetapi mereka telah membuat permulaan positif dalam kempen Serie A selepas meraih lima kemenangan daripada tujuh perlawanan.
Masa depan Ronaldo masih diragui walaupun menjaringkan gol pertamanya musim ini ketika membantu United menewaskan Sheriff Tiraspo dalam Liga Europa, 16 September lalu.
Napoli juga boleh cuba ‘menggoda’ Ronaldo untuk berpindah selepas menunjukkan minat terhadap penyerang Portugal itu pada musim panas.
Selain cemerlang di pentas domestik, mereka turut bermula baik dalam kempen Liga Juara-Juara dengan memenangi dua aksi pembukaan, termasuk membelasah Liverpool 4-1.
Ronaldo mempunyai kejayaan di Itali bersama Juventus sebelum kembali ke Old Trafford dengan menjaringkan 101 gol dalam 134 perlawanan. – AGENSI