ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan yang menghuni tangga terbawah Liga Super, Penang FC dalam aksi di Stadium Darul Aman, di sini, sebentar tadi.
Perlawanan berlangsung hambar ketika dimulakan dalam hujan lebat dengan kedua-dua pasukan seolah-olah buntu mencari idea untuk menembusi barisan pertahanan lawan.
Hanya pada minit ke-25, KDA FC berjaya mencipta peluang pertama untuk mencetak jaringan, namun rembatan kencang Ronald Ngah Wan Ja dari dalam kotak penalti berjaya dihalang penjaga gol Penang FC, Hafizul Hakim yang melayangkan badan ke kiri gawang.
Tiga minit berselang, kapten Kedah, Mohd. Syazwan Zainon sekali lagi membuka ruang kepada Ronald Ngah untuk mencipta jaringan, tetapi penyerang dari Cameroon itu sekali lagi kecewa apabila tandukan leretnya ditepis Hafizul Hakim untuk kali kedua.
Hafizul Hakim sekali lagi menjadi penyelamat kepada pasukannya apabila berjaya menepis percubaan pemain tengah lincah KDA FC, Mohamad Al-Hafiz Harun pada minit ke-31 ketika kedua-dua mereka berdepan satu sama satu.
Penang FC turut berpeluang menghasilkan jaringan namun tandukan dilakukan kapten mereka, Lucas Da Silva pada minit ke-43 dari dalam kotak penalti, sedikit melepasi palang.
Memasuki babak kedua, pasukan pelawat terlebih dahulu melakukan asakan namun tandukan dilakukan Lucas pada minit ke-50 sekali lagi liar meskipun dia memiliki ruang cukup selesa untuk membuat jaringan tanpa dicabar mana-mana pemain KDA FC.
Stadium Darul Aman bagaimanapun ‘bergegar’ lima minit kemudian apabila Ronald Ngah berjaya menghasilkan gol setelah menolak bola melepasi Hafizul Hakim dalam kedudukan satu sama satu.
Gol itu bagaimanapun tidak disenangi beberapa pemain Penang FC yang mengerumuni penjaga garisan kerana mendakwa Ronald Ngah terlebih dulu berada dalam kedudukan ofsaid sebelum menerima bola daripada Mohamad Al-Hafiz.
Minit ke-68, Lucas sekali lagi menggentarkan penyokong tuan rumah namun percubaan kencang leret dari luar kotak penalti sedikit tersasar.
Minit ke-85 dan 86, Dechi Marcell serta Ronald Ngah mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan buat pasukan tuan rumah apabila rembatan masing-masing tersasar biarpun kedua-dua pemain import itu berada dalam kedudukan cukup selesa bagi menghasilkan gol.
Rembatan leret dilakukan Lucas pada minit ke-88 pula sekadar singgah di tiang gol pasukan tuan rumah untuk kedudukan kekal 1-0 sehingga akhir perlawanan. – UTUSAN ONLINE