KUALA TERENGGANU: Majoriti penyokong Terengganu FC (TFC) mahu Mohd. Nafuzi Zain dikekalkan sebagai ketua jurulatih musim depan walaupun tumpas dalam aksi final Piala FA, Sabtu lalu.
Pengerusi Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu (TFFC), Mazuki Muhamad, berkata, khidmat Nafuzi masih diperlukan bagi meneruskan kesinambungan pasukan yang dibentuknya sejak 2019.
Menurutnya, kejayaan mara ke final Piala FA dianggap satu kejayaan dan peningkatan yang ditunjukkan skuad Sang Penyu di bawah kendalian jurulatih berusia 44 tahun itu.
“Walaupun perit, kami terima kekalahan ini dengan hati terbuka. TFC tewas kepada pasukan lebih baik yang bijak menghukum kesilapan kita dan pemain-pemain juga sudah beri yang terbaik.
“Nafuzi masih relevan untuk terus melatih TFC dan semua boleh lihat perubahan yang dibawa beliau dari tahun ke tahun dan pemain-pemain juga nampak serasi dengan corak permainannya.
“Saya fikir dengan kemasukan pemain import baharu yang lebih ‘membunuh’, Nafuzi boleh meraih keputusan lebih baik dengan barisan TFC yang lebih mantap pada 2023,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penyokong, Muhammad Azri Azahar, berkata, TFC harus melupakan episod kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Piala FA dan segera bangkit mengalahkan Penang FC dalam saingan liga esok.
Jelasnya, TFC masih berpeluang merebut slot ke Piala AFC 2023 dengan memburu kedudukan tiga teratas dan berharap skuad bimbingan Nafuzi tidak patah semangat untuk baki saingan musim ini.
“Jika dilihat, ramai memberi komen positif kepada pasukan TFC terutama kepada penjaga gol, Rahadiazli Rahalim, yang mana dua kesilapannya dikatakan punca kekalahan Sabtu lalu.
“Namun riak wajak pemain menunjukkan mereka juga kecewa dan kami mahu seluruh pasukan kembali bersemangat kerana TFC masih ada perjuangan yang belum selesai,” jelasnya.