PETALING JAYA: Dua aksi antarabangsa menentang Thailand dan bertemu Trinidad & Tobago ataupun Tajikistan adalah peluang untuk mencari ‘ramuan’ baharu sebelum mengharungi kejohanan sebenar nanti.
Perkara itu ditegaskan pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon menjelang aksi bertemu Thailand sempena aksi Piala Raja di Stadium 700th Anniversery, Chiang Mai, malam ini.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, penglibatan kami dalam Piala Raja Thai adalah untuk memantapkan persiapan pasukan kerana peluang menentang pasukan seperti Thailand memberi pengalaman yang bagus.
“Selepas itu kita juga akan bertemu pasukan daripada Amerika Latin (Trinidad & Tobago) serta Asia Barat (Tajikistan) yang menduduki ranking lebih baik daripada pasukan.
“Secara peribadi, apa yang saya mahukan daripada pemain adalah untuk meneruskan momentum cemerlang seperti yang dipamerkan pada kempen kelayakan Piala Asia 2023, Jun lepas,” katanya pada sidang media semalam.

Bagi kapten kebangsaan, Syafiq Ahmad dia menyeru agar rakan sepasukan berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan skuad Gajah Perang berbanding memikirkan kejayaan lepas.
“Benar, pasukan berada dalam momentum yang baik sebelum ini, namun perkara tersebut adalah sejarah dan fokus harus diberikan sepenuhnya pada aksi Piala Raja kali ini.
“Barisan pemain juga cukup bersemangat untuk membuktikan sesuatu kerana yakin ada kejayaan yang boleh diraih kali ini. Apa yang berlaku sebelum ini, harus dilupakan segera,” ujarnya.
Jika kedudukan ranking menjadi perbandingan, Harimau Malaya yang kini menduduki ranking ke-148 dilihat jauh ketinggalan dengan pasukan ‘Gajah Perang (ke-111 dunia).
Bagaimanapun, berdasarkan rekod pertemuan semasa, Malaysia belum tewas dengan Thailand pada empat pertemuan terakhir dengan merekodkan dua kemenangan dan dua keputusan seri sejak 2018.-UTUSAN